KUALA LUMPUR: Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) meluncurkan Program SOORIAN, bagi memperkasa penyertaan komuniti India dalam bidang keusahawanan francais dengan peruntukkan dana sebanyak RM54.5 juta.
Program SOORIAN yang membawa maksud ‘matahari’ dalam bahasa Tamil, direka khusus untuk membantu komuniti India mengembangkan potensi dalam keusahawanan francais melalui latihan, bimbingan dan akses kepada pembiayaan.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, program ini menyasarkan 1,000 peserta di seluruh negara, merangkumi 20 bakal francaisor, 100 bakal francaisi, 400 usahawan kecil dan 500 peserta penempatan kerja.
Katanya, 500 peserta terpilih ini akan mendapatkan penempatan kerja dalam bidang yang bersesuaian dengan gaji antara RM1,700 hingga RM2,800.
“Selain daripada itu, syarikat pemula juga mempunyai peluang mendapatkan pembiayaan mikro untuk memulakan perniagaan mereka bermula daripada RM3000 hingga RM20,000.
“Untuk pembiayaan francaisi atau pembiayaan lisensi adalah daripada RM3000 hingga RM350,000. Jadi, kami mengambil kira semua dinamik, sama ada kecil, medium dan besar. Peluang ada untuk semua,” katanya pada majlis peluncuran tersebut di Menara Pernas di sini, semalam.
Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Datuk Nor Azam M. Taib.
Sementara itu, beliau berkata, SOORIAN adalah satu langkah strategik yang sejajar dengan agenda Madani dan Dasar Keusahawanan Negara 2030, yang menekankan keterangkuman sosial serta peluang ekonomi saksama untuk semua lapisan masyarakat.
“Inisiatif ini bukan sekadar membina usahawan baharu, tetapi memperkasa komuniti India agar terus maju dan berdaya saing dalam industri francais, sekali gus menyumbang kepada perpaduan ekonomi nasional,” ujarnya.
Tambahnya, komuniti India yang berminat boleh membuat permohonan bermula hari ini di laman web atau pejabat Pernas.
Lima komponen utama yang menjadi tunjang pelaksanaan program SOORIAN merangkumi latihan asas francais, latihan kesedaran halal, penempatan industri, pembangunan francaisor, serta akses kepada pembiayaan.
Kesemuanya dirangka bagi memastikan peserta mendapat pendedahan menyeluruh dari aspek pengetahuan, kemahiran dan peluang keusahawanan dalam ekosistem francais. – UTUSAN