PETALING JAYA: Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) terus memainkan peranan sebagai pemangkin utama kejayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini, membantu usahawan memperoleh pembiayaan bagi mengembangkan perniagaan sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi nasional.
Diuruskan oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad, skim itu menyediakan platform kepada usahawan untuk mendapatkan jaminan kerajaan, sekali gus memudahkan akses kepada pembiayaan bagi tujuan operasi, pengembangan, pembelian aset dan peningkatan modal kerja.
Sepanjang tahun lalu, lebih 14,000 PKS menerima kelulusan pembiayaan bernilai RM18.5 bilion menerusi SJPP.
Mereka merupakan sebahagian daripada lebih 75,000 PKS yang telah mendapat manfaat sejak inisiatif itu diperkenalkan pada April 2009 hingga Disember lalu, melibatkan jumlah pembiayaan melebihi RM102 bilion.
Misi utama SJPP ialah membantu PKS yang menghadapi kekurangan cagaran atau yang tidak memenuhi kriteria pinjaman tradisional untuk mendapatkan pembiayaan.
Di bawah skim SJPP, dokumen rasmi menyatakan jaminan kerajaan boleh meliputi sehingga 80 peratus daripada jumlah pembiayaan yang diluluskan oleh institusi kewangan.
Pensyarah Kanan Ekonomi, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Abdul Rais Abdul Latiff berkata, suntikan pembiayaan melalui skim itu mampu memberi kesan limpahan yang ketara terhadap ekonomi.
“PMKS merupakan nadi penting ekonomi negara, merangkumi hampir 90 peratus struktur perniagaan dan menyumbang kira-kira 39.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2024, dengan 48.7 peratus kepada guna tenaga.
“Skim jaminan kredit seperti SJPP berupaya mengurangkan risiko kredit bank terhadap PMKS yang kurang atau tiada cagaran, sekali gus memperluas akses pembiayaan, memacu pelaburan, pengeluaran dan produktiviti yang menjadi teras kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah beliau, keberkesanan skim itu bergantung kepada penyasaran pinjaman yang tepat, disiplin kredit dan pemantauan telus bagi memastikan dana digunakan untuk meningkatkan produktiviti, automasi serta keupayaan firma bersaing di pasaran tempatan dan antarabangsa.
“Sokongan tambahan seperti khidmat bimbingan teknikal, latihan pengurusan dan pemantauan berasaskan hasil wajar digabungkan dengan pembiayaan agar skim itu memberikan impak optimum kepada ekonomi dalam jangka panjang.
“Jika dilaksanakan secara teliti, jaminan kerajaan bernilai RM20 bilion ini mampu menjadi pemangkin berkesan yang menyokong pertumbuhan lebih mampan, sekali gus memperkukuh daya tahan ekonomi negara,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Kewangan Bayu Somerset, Razzane Razif berkongsi kejayaan syarikatnya memanfaatkan kemudahan tersebut apabila berjaya memperoleh dana sebanyak RM2.8 juta.
“Dana itu membolehkan kami membeli stok barang niaga yang dijangka menjana jualan sehingga RM8.4 juta, selain membuka cawangan baharu di Kuala Lumpur East Mall, Elmina Lakeside Mall, Mayang Mall Terengganu dan IOI Putrajaya Mall,” katanya.
Namun, Razzane berkata, proses kelulusan jaminan masih mengambil masa panjang selepas pinjaman diluluskan pihak bank, manakala prosedur permohonan pula kurang jelas dan bergantung kepada kecekapan bank yang menawarkan pinjaman dijamin SJPP.
Beliau mencadangkan beberapa penambahbaikan, termasuk mempercepatkan dokumentasi, penggunaan teknologi digital seperti tandatangan elektronik, insentif cukai untuk perbelanjaan yang dibiayai melalui skim tersebut serta mengambil kira prospek pertumbuhan perniagaan, bukan hanya prestasi kewangan lampau.
“Dengan adanya skim ini, pihak pengurusan lebih yakin untuk meraih dana bagi memperluas operasi syarikat. Kami gunakan dana itu untuk pembukaan cawangan baharu dan penstokan bagi lokasi yang baru dibuka,” ujarnya.
Dalam pada itu, pemilik Doyok Motor Services, Siti Nurul Atiqah Arifin berkata, skim jaminan pinjaman tanpa cagaran itu amat membantu usahawan kecil sepertinya mendapatkan modal tambahan bagi mengembangkan perniagaan.
“Tanpa keperluan cagaran, ruang lebih mudah terbuka untuk memperoleh dana. Dengan adanya modal ini, saya dapat meningkatkan kapasiti operasi, menambah stok bagi memenuhi permintaan pelanggan, menaik taraf kelengkapan lebih moden dan memperluas strategi pemasaran ke platform yang lebih berkesan.
“Semua ini membantu meningkatkan daya saing serta menambah hasil jualan,” katanya.
Mengulas aspek proses permohonan, beliau berkata, prosedur keseluruhannya agak jelas namun masih terdapat terma teknikal yang sukar difahami.
“Saya sarankan agar komunikasi yang lebih mesra pengguna serta panduan langkah demi langkah yang ringkas, selain sokongan khidmat pelanggan yang responsif bagi menjawab pertanyaan pemohon,” ujarnya.
Selain itu, beliau berkata, skim itu boleh dilengkapkan dengan sokongan tambahan seperti latihan kewangan untuk mengurus aliran tunai, bimbingan digital bagi memperkukuh kehadiran dalam talian, serta insentif cukai yang sesuai bagi mengurangkan beban kewangan dan memberi ruang kepada usahawan melabur dalam pertumbuhan perniagaan.
“Secara keseluruhannya, skim ini memberi keyakinan untuk melabur semula dan memperluas operasi perniagaan. Dengan adanya jaminan, risiko kewangan lebih rendah, sekali gus memberi motivasi untuk mengambil peluang baharu dalam pasaran yang semakin kompetitif,” katanya.
Sehubungan itu, usaha kerajaan melalui SJPP dan pelbagai inisiatif pembiayaan sudah pasti menjadi titik tolak penting dalam perjalanan perniagaan ramai usahawan PKS di Malaysia.
Dengan adanya inisiatif seperti ini, lebih banyak perniagaan berpotensi besar akan dapat terus maju dan memberi impak positif kepada ekonomi negara. – UTUSAN