PETALING JAYA:Scoot, anak syarikat tambang murah Singapore Airlines (SIA), melancarkan perkhidmatan penerbangan ke empat destinasi baharu di Indonesia iaitu Labuan Bajo, Medan, Palembang dan Semarang.
Penerbangan akan bermula secara progresif antara Disember 2025 dan Februari 2026, sekali gus mengukuhkan jejak Scoot di negara itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Scoot, Leslie Thng berkata, penambahan itu membuktikan komitmen Scoot untuk mengukuhkan ketercapaian rangkaian di Asia Tenggara dan menyediakan hubungan yang mudah diakses serta lancar ke semua rangkaian kumpulan SIA melalui Singapura.
“Kami akan terus merebut peluang baharu untuk memperluaskan jejak kami dan menawarkan pelanggan lebih banyak pilihan perjalanan,” katanya dalam kenyataan.
Bermula 21 Disember ini, Scoot akan memulakan penerbangan dua kali seminggu ke Labuan Bajo dengan pesawat Embraer E190-E2 manakala ke Medan dengan pesawat Airbus A320 bermula 1 Februari 2026.
Palembang yang merupakan ibu kota Sumatra Selatan adalah salah satu bandar tertua di Indonesia.
Penerbangan empat kali seminggu ke Palembang dengan pesawat Embraer E190-E2 pula bermula pada 15 Januari 2026 manakala penerbangan tiga kali seminggu ke Semarang dengan pesawat Airbus A320 akan bermula 23 Disember 2025, dengan peningkatan kekerapan ke empat kali seminggu bermula 1 Januari 2026.
Dengan keterhubungan mudah melalui Singapura, pelancong Malaysia kini boleh meneroka destinasi-destinasi ini dengan Scoot.
Tambang satu hala kelas ekonomi termasuk cukai bermula dari RM369 ke Labuan Bajo, RM239 ke Medan, RM299 ke Palembang dan RM269 ke Semarang.
Dengan pelancaran perkhidmatan ke Labuan Bajo, Medan, Palembang dan Semarang, Scoot akan mengoperasikan lebih 120 penerbangan mingguan ke 15 bandar di Indonesia bermula Februari 2026.
Rangkaian Scoot akan berkembang ke 83 destinasi melibatkan 18 negara dan wilayah di Asia Pasifik, Timur Tengah dan Eropah. -UTUSAN