Ringgit dijangka mengukuh, mampu capai RM4.10 minggu depan

Ringgit dijangka mengukuh, mampu capai RM4.10 minggu depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:Ringgit dijangka mengukuh dan berlegar dalam julat antara RM4.22 hingga RM4.10 berbanding dolar AS minggu hadapan, disokong oleh jangkaan pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) akan datang yang dianggarkan antara 0.25 hingga 0.5 peratus.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, langkah Fed AS tersebut dijangka mendorong aliran keluar pelaburan daripada nota perbendaharaan AS ke pasaran ekuiti serta peningkatan penjualan dolar AS.

“Bagaimanapun, pengukuhan ringgit dijangka tidak berlaku secara cepat memandangkan Bank Negara Malaysia (BNM) dilihat terus mengekalkan kawalan rapi terhadap kestabilan mata wang tempatan.

“Indeks Dolar AS (DXY) mencatatkan penyusutan 1.24 peratus minggu lalu berbanding enam mata wang utama lain, menandakan kelemahan berterusan dolar AS,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, ketidaktentuan dasar ekonomi AS di bawah pentadbiran Donald Trump terus menimbulkan kebimbangan pasaran.

“Kenyataan terbaharu beliau yang menyatakan perang dagang antara AS dan China telah bermula dilihat memberi kesan negatif terhadap ekonomi negara itu.

“Ia turut menjejaskan keyakinan pelabur dan mempengaruhi negara-negara lain untuk mengalihkan pasaran mereka dari terlalu bergantung kepada AS dengan mengurangkan secara signifikan.

“Ini menyebabkan kenaikan kadar inflasi yg meningkat di AS dan memberikan tekanan kepada kos sara hidup rakyat AS menambah beban kos sara hidup rakyatnya,” ujarnya.

Mengulas mengenai prestasi pasaran saham tempatan, Aimi berkata, di peringkat domestik, Bursa Malaysia dijangka meneruskan aliran pengukuhan pada minggu hadapan.

“Ini disokong oleh laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang menunjukkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga meningkat 5.2 peratus, melebihi jangkaan penganalisis.

“Prestasi kukuh itu dijangka terus menyokong sentimen positif dalam kalangan pelabur serta sektor korporat tempatan,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, nilai ringgit dijangka terus mengukuh dan berpotensi mencecah bawah paras RM4 bagi satu dolar (AS) dalam tempoh enam bulan akan datang, bergantung kepada perkembangan ekonomi semasa.

“Pada masa ini, ringgit berada sekitar paras RM4.20 berbanding dolar AS, menandakan pengukuhan berbanding bulan-bulan sebelumnya.

“Pertumbuhan ekonomi negara dalam beberapa bulan kebelakangan ini menjadi faktor utama penyokong pengukuhan mata wang tempatan.

“Ia didorong oleh peningkatan kukuh dalam beberapa sektor utama iaitu sektor perkilangan yang berkembang sebanyak 4.0 peratus, pembinaan meningkat 11 peratus , dan perkhidmatan tumbuh 5.1 peratus.

“Selain itu, Malaysia turut mencatat lebihan perdagangan hampir RM20 bilion bagi suku tahun ketiga, sekali gus memperkukuh kedudukan Ringgit di pasaran,” katanya

Tambahnya, momentum pertumbuhan positif ini dijangka berterusan sehingga hujung tahun, disokong oleh asas ekonomi domestik yang kukuh serta sentimen perdagangan serantau yang bertambah baik.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN