Rasionalisasi subsidi, penstrukturan perbelanjaan stabil kewangan

Rasionalisasi subsidi, penstrukturan perbelanjaan stabilkan kewangan negara

PELAKSANAAN rasionalisasi bersasar dijangka membantu negara mengurangkan kesan daripada Perang AS-Iran. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rasionalisasi subsidi bahan api dan penstrukturan semula perbelanjaan membantu menstabilkan kedudukan kewangan negara, walaupun hasil kerajaan diunjurkan lebih rendah dalam Belanjawan 2026 akibat penurunan harga minyak mentah global, kata Standard Chartered Global Research.

Ahli Ekonomi dan Penganalisis Pertukaran Asing Standard Chartered Bank (Singapore) Limited, Jonathan Koh berkata, usaha rasionalisasi subsidi yang dilaksanakan secara berperingkat mula menunjukkan hasil positif apabila kerajaan dapat mengekalkan disiplin fiskal tanpa menjejaskan bantuan kepada rakyat.

“Belanjawan 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen kerajaan terhadap pengukuhan fiskal apabila defisit dijangka berkurangan kepada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 3.8 peratus tahun ini.

“Penguncupan ini dipacu oleh penurunan perbelanjaan sebagai peratusan KDNK terutamanya perbelanjaan mengurus yang mengimbangi penurunan hasil kerajaan.

“Reformasi subsidi petrol RON95 sahaja dijangka memberi penjimatan sekurang-kurangnya RM2.5 bilion setahun,” katanya dalam nota penyelidikan.

Jonathan berkata, perbelanjaan subsidi dan bantuan sosial dijangka menurun sebanyak 14.1 peratus pada 2026, bersamaan 2.3 peratus daripada KDNK, dipacu oleh penjimatan daripada rasionalisasi subsidi bahan api serta kesan harga minyak global yang dianggarkan antara AS$60 (RM253) hingga AS$65 (RM275) setong, berbanding AS$70 (RM295) setong pada 2025.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan kekal berhati-hati terhadap risiko sekiranya harga minyak kembali meningkat yang boleh memberi tekanan kepada belanjawan, walaupun ia sebahagiannya mampu diimbangi melalui peningkatan hasil minyak.

Tambahnya, emolumen penjawat awam terus menjadi komponen terbesar perbelanjaan mengurus dan dijangka meningkat 5.6 peratus tahun ke tahun, termasuk pelaksanaan kenaikan gaji tujuh peratus bagi sebahagian kakitangan awam.

“Bagi hasil kerajaan, kutipan berkaitan petroleum dijangka menurun kepada 2.0 peratus daripada KDNK pada 2026 berbanding 2.8 peratus tahun ini, sejajar dengan komitmen kerajaan mengurangkan kebergantungan kepada sumber minyak. 

“Dividen Petronas turut dikurangkan kepada RM20 bilion berbanding RM32 bilion pada 2025.

“Sebaliknya, hasil bukan petroleum dijangka meningkat kepada 14.1 peratus daripada KDNK, disokong oleh peluasan asas Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta pelaksanaan e-Invois bagi meningkatkan pematuhan cukai dan kutipan hasil,” jelasnya.

Walaupun langkah konsolidasi diteruskan, kerajaan mengekalkan komitmen terhadap perbelanjaan pembangunan dengan peruntukan sebanyak 3.8 peratus daripada KDNK pada 2026, hanya sedikit rendah berbanding 4.0 peratus tahun ini.

Dari sudut ekonomi, beliau berkata, kerajaan menjangkakan pertumbuhan KDNK antara 4.0 hingga 4.5 peratus pada 2026.

Jelasnya, jumlah tersebut sedikit lebih rendah berbanding unjuran 4.0 hingga 4.8 peratus pada 2025, dengan kadar inflasi purata diunjurkan 1.3 hingga 2.0 peratus.

“Penurunan harga siling petrol RON95 kepada RM1.99 seliter daripada RM2.05 seliter turut membantu mengekang tekanan inflasi,” jelasnya.

Dalam pada itu, Jonathan menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semasa selepas pemotongan kadar faedah sebanyak 25 mata asas pada Julai lalu, menandakan dasar monetari kekal menyokong pertumbuhan stabil dalam tempoh sederhana. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN