Pro-Net terima 3,000 tempahan Proton e.MAS 5 dalam seminggu - Utusan Malaysia

Pro-Net terima 3,000 tempahan Proton e.MAS 5 dalam seminggu

PROTON E.MAS 5
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton New Energy Technology Sdn. Bhd. (Pro-Net), anak syarikat pembuat kereta nasional Proton mengumumkan kejayaan cemerlang model kereta elektrik (EV) terbaharu mereka, Proton e.MAS 5 dengan 3,000 tempahan dicatatkan dalam minggu pertama pembukaan tempahan.

Lebih mengagumkan, sebanyak 1,607 tempahan diterima dalam tempoh 24 jam pertama.

Pelancaran kukuh Proton e.MAS 5 ini menyusuli kejayaan model terdahulu, Proton e.MAS 7, yang terus menguasai pasaran EV Malaysia tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, Zhang Qiang berkata, sehingga 30 September 2025, jumlah jualan terkumpul e.MAS 7 mencecah 6,655 unit, dengan 6,212 unit terjual dalam negara dan 443 unit dieksport ke luar negara.

“Pencapaian ini meletakkan e.MAS 7 sebagai EV nombor satu Malaysia selama sembilan bulan berturut-turut dengan pegangan pasaran sebanyak 24 peratus.

“Kami berada dalam bulan yang sangat bersejarah, apabila dua pencapaian besar dicapai: jualan mantap Proton e.MAS 7 dan sambutan luar biasa terhadap e.MAS 5,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, jumlah tempahan yang dicapai benar-benar melebihi jangkaan mereka.

“Kami amat berterima kasih kepada rakyat Malaysia atas kepercayaan berterusan mereka terhadap usaha kami membangunkan EV yang sesuai dengan keperluan jalan dan gaya pemanduan tempatan,” katanya.

Proton e.MAS 5 dijangka ditawarkan pada harga antara RM60,000 hingga RM80,000, menjadikannya EV paling mampu milik di pasaran Malaysia.

Model hatchback segmen-B ini dilengkapi pelbagai ciri dan teknologi canggih, termasuk reka bentuk padat untuk pemanduan bandar, ruang dalaman luas setanding segmen-C, paparan utama 14.6” FHD, sistem operasi pintar ATLAS Auto OS, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar serta aplikasi Proton e.MAS untuk kawalan dan penyambungan pintar.

Dengan jarak pemanduan sehingga 325 kilometer (km) mengikut piawaian WLTP dan keupayaan pengecasan pantas, e.MAS 5 menawarkan penyelesaian ideal untuk kegunaan harian, perjalanan ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah serta aktiviti hujung minggu, semuanya dengan kos operasi dan penyelenggaraan yang lebih rendah berbanding kenderaan petrol. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN