PETALING JAYA: Powertechnic Group Berhad (Powertechnic) dijangka mengumpul RM22.05 juta melalui terbitan 63 juta saham baharu pada harga terbitan 35 sen sesaham melalui tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities).
Perolehan IPO itu akan diperuntukkan sebanyak RM4.50 juta bagi menubuhkan bilik pameran produk dan pejabat jualan baharu dengan ruang penyimpanan dan perbelanjaan pemasaran dan RM3.80 juta untuk perbelanjaan modal terutamanya untuk mesin automatik.
Selain itu sebanyak RM2.80 juta pula untuk pembayaran balik pinjaman bank, RM6.65 juta untuk modal kerja am dan RM4.30 juta untuk anggaran perbelanjaan penyenaraian.
Pengarah Urusan Powertechnic Group Berhad, Ivan Na Keh Chal berkata, pelancaran prospektus menandakan lembaran baharu yang menarik untuk Powertechnic.
“IPO akan memperkasakan syarikat untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran melalui automasi untuk proses fabrikasi, mengukuhkan kehadiran pasaran kami di kawasan sasaran baharu seperti Pulau Pinang dan Sarawak serta Singapura dan Indonesia.
“Ini juga bagi mengukuhkan komitmen kami untuk menghasilkan sistem peningkatan nilai yang berdaya tahan lama.
“Kami berdedikasi untuk memacu pertumbuhan yang mampan dan mencipta nilai jangka panjang untuk pemegang kepentingan kami,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Powertechnic, Choo Chee Yong berkata, pelancaran prospektus itu adalah bukti kerja keras dan daya tahan pasukan dalam membina perniagaan yang mampan dan mengutamakan pelanggan.
“Menerusi hasil IPO, kami bukan sahaja mengembangkan jejak di seluruh Malaysia, tetapi juga melabur dalam automasi yang akan meningkatkan keupayaan penghantaran dan meningkatkan nilai yang syarikat bawa kepada pelanggan.
“Kami tidak sabar-sabar untuk memasuki fasa seterusnya ini dengan fokus yang jelas pada kecemerlangan operasi dan pertumbuhan jangka panjang,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Kewangan Korporat TA Securities Holdings Berhad, Ku Mun Fong berkata, rekod prestasi, model perniagaan dan pasukan pengurusan yang berpengalaman Powertechnic meletakkannya dengan baik untuk pertumbuhan yang mampan.
“Kami gembira dapat menyokong perjalanan IPO Powertechnic. Hala tuju strategik Syarikat akan membolehkannya merebut peluang dalam sektor pembinaan dan pembuatan Malaysia yang semakin berkembang,” ujarnya.
Berikutan pelancaran prospektus Powertechnic itu, permohonan untuk Terbitan Awam dibuka mulai hari ini dan akan ditutup pada 14 Oktober 2025.
Powertechnic dijadualkan akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities pada 28 Oktober 2025. – UTUSAN










