PNB, KWSP kekal komited terhadap pelaburan Battersea Power Station

PNB, KWSP kekal komited terhadap pelaburan Battersea Power Station

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menegaskan komitmen mereka terhadap pelaburan dalam projek ikonik Battersea Power Station di London yang kekal sebagai aset strategik dalam portfolio hartanah global kedua-dua institusi itu.

Dalam kenyataan bersama, PNB dan KWSP berkata, bangunan Battersea Power Station yang terletak dalam presint komersial Projek Battersea dimiliki bersama sebagai sebahagian daripada pelaburan jangka panjang mereka di luar negara.

“Kedua-dua organisasi kekal komited untuk merealisasikan potensi pelaburan secara menyeluruh serta yakin dengan prospek dan potensi peningkatan nilainya. Oleh itu, tiada rancangan segera untuk keluar daripada pelaburan tersebut,” menurut kenyataan itu.

Projek Battersea dimiliki oleh konsortium yang diketuai oleh Sime Darby Property Berhad dan SP Setia Berhad, dengan PNB dan KWSP memegang kepentingan dalam bangunan utama yang menjadi mercu tanda bersejarah London itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa dari semasa ke semasa, pelbagai pihak berminat untuk melabur dalam projek berkenaan memandangkan statusnya sebagai aset ikonik antarabangsa.

“Sebagai pelabur, PNB dan KWSP akan menilai setiap cadangan dengan teliti selaras dengan kriteria dan pertimbangan pelaburan kami, yang berasaskan kepada penciptaan nilai untuk manfaat pemegang unit PNB dan ahli KWSP,” katanya. 

Kedua-dua institusi turut menegaskan, apabila sesuatu pelaburan mencapai tahap kematangan dan pulangan disasarkan, mereka akan mempertimbangkan langkah pengewangan atau pengenalan rakan strategik baharu bagi menyokong keperluan modal serta pertumbuhan masa depan.

Projek Battersea Power Station yang melalui proses pemulihan besar-besaran sejak beberapa tahun lalu kini menempatkan ruang pejabat, kediaman mewah, premis runcit serta pusat hiburan dan menjadi salah satu destinasi utama di London.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN