KUALA LUMPUR: PMW International Bhd. (PMW) menyasarkan kutipan hasil berjumlah RM60.66 juta menerusi terbitan awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia dengan 178.41 juta saham baharu pada harga 34 sen sesaham.
Berdasarkan modal saham diterbitkan yang diperbesarkan sebanyak 892.05 juta unit dan harga tawaran tersebut, permodalan pasaran syarikat pembuat produk konkrit itu dianggarkan RM303.30 juta.
Syarikat dijadual disenaraikan pada 18 November 2025.
Daripada hasil IPO tersebut, sebanyak 77 peratus diperuntukkan bagi pembinaan kemudahan baharu di Tanjung Manis, Sarawak, manakala 0.96 peratus digunakan untuk pembelian mesin dan peralatan baharu bagi menyokong operasi acuan serta pengeluaran tiang dan cerucuk berpusing.
Baki hasil akan digunakan sebagai modal kerja am dan perbelanjaan penyenaraian.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif PMW, Lee Hon Hwa berkata, penyenaraian tersebut merupakan satu pencapaian penting bagi syarikat selepas lebih tiga dekad membina kepakaran dalam industri infrastruktur.
“Penyenaraian di Pasaran ACE bukan sahaja menandakan satu langkah besar buat PMW, tetapi juga membuktikan dedikasi dan keupayaan kami dalam pembuatan produk konkrit seperti tiang berpusing, cerucuk berpusing serta cerucuk segi empat,” katanya pada majlis pelancaran prospektus syarikat itu di sini, hari ini.
Menurutnya, langkah pembinaan kemudahan baharu di Tanjung Manis, Sarawak akan membuka fasa pertumbuhan baharu untuk PMW.
“Langkah ini membolehkan kami memanfaatkan kepakaran teknikal serta keupayaan pembuatan bagi memenuhi permintaan pelanggan dan mengukuhkan kedudukan daya saing di negeri tersebut.
“Kemudahan baharu ini akan meletakkan kami pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan permintaan infrastruktur yang meningkat di Sarawak, terutamanya dalam pembekalan tiang dan cerucuk berpusing yang diperlukan bagi projek-projek utama ini,” jelasnya.
Sebagai sebahagian daripada Belanjawan 2026, Sabah dan Sarawak menerima peruntukan pembangunan persekutuan tertinggi sebanyak RM6.9 bilion dan RM6 bilion masing-masing untuk projek utama seperti Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Jalan Penghubung Sarawak–Sabah (SSLR).
Tambah beliau, pertumbuhan berterusan dalam sektor utiliti awam, telekomunikasi dan elektrik di seluruh negara turut meningkatkan permintaan terhadap produk konkrit.
“Faktor seperti pertumbuhan penduduk, perluasan komuniti serta pembangunan komersial, perindustrian dan kediaman yang memerlukan infrastruktur baharu turut menjadi pemacu utama.
“Selain itu, pelaksanaan teknologi baharu seperti rangkaian 5G, gentian optik serta elektrifikasi sistem rel Malaysia menawarkan peluang jangka panjang kepada kami.
“Dengan hasil kutipan IPO ini, PMW berada pada kedudukan kukuh untuk merebut peluang pertumbuhan ini dan memberi nilai mampan kepada semua pihak berkepentingan,” katanya.
Tempoh permohonan untuk IPO bermula hari ini (28 Oktober 2025) dan akan ditutup pada pukul 5 petang, 6 November 2025.
KAF Investment Bank Bhd. bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Pengunderait dan Ejen Penempatan bagi penyenaraian ini. – UTUSAN










