PETALING JAYA: Pentadbir Pencen Swasta (PPA) melantik Taufiq Iskandar sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharunya berkuat kuasa hari ini, menggantikan Husaini Hussin yang menerajui organisasi itu sejak 2016.
Taufiq yang memulakan kerjayanya di Permodalan Nasional Berhad sebagai penganalisis pelaburan membawa bersamanya pengalaman luas dalam industri perkhidmatan kewangan, khususnya dalam pengurusan dana.
Beliau seterusnya memegang jawatan kanan termasuk Pengarah Penyelidikan dan Pengarah Ekuiti di Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Ketua Pegawai Eksekutif Penjana Kapital Sdn. Bhd. dan Pengarah Eksekutif Pengurus Aset VCAP di bawah Kumpulan ValueCap.
Secara akademik, Taufiq berkelulusan Undang-undang dari London School of Economics and Political Science (LSE) sebelum melanjutkan pengajian pasca siswazah dalam Pengurusan di institusi yang sama.
Beliau kemudiannya memperoleh kelayakan pascasiswazah dalam Pelaburan dan Kewangan Risiko dari University of Westminster.
Pengerusi PPA, Datuk Dr Tengku Aizan Tengku Abdul Hamid berkata, kepakaran dan komitmen mendalam Taufiq untuk membangunkan pasaran modal meletakkan beliau dalam kedudukan kukuh untuk melonjakkan PPA ke tahap yang lebih tinggi.
“Saya yakin beliau akan mengukuhkan peranan PPA sebagai pentadbir pusat bagi Skim Persaraan Swasta (PRS), di samping memajukan lagi industri PRS dan ekosistem perancangan persaraan kewangan yang lebih luas,” katanya dalam kenyataan.
Tengku Aizan turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Husaini yang telah berkhidmat dengan PPA selama lebih sedekad.
Katanya, beliau menyertai PPA pada permulaan operasinya pada Oktober 2012 sebagai Ketua Pegawai Operasi sebelum dilantik sebagai CEO pada Oktober 2016.
“Di bawah pengawasan Husaini, PPA telah berkembang dari kekuatan ke kekuatan. Hari ini, ada sembilan penyedia PRS menawarkan pilihan 79 dana persaraan, disokong oleh lebih daripada 28,000 perunding PRS di seluruh negara,” ujarnya.
PRS adalah simpanan jangka panjang sukarela dan skim pencen tonggak ketiga yang direka untuk membantu individu menyimpan lebih banyak untuk persaraan mereka.
Ia merapatkan jurang antara sumbangan mandatori atau pembayaran yang ditetapkan dan pendapatan gantian yang diperlukan oleh individu. – UTUSAN