PETALING JAYA: Keadaan ekonomi China yang perlahan ketika ini mendorong pengeluar kenderaan elektrik (EV) dari negara itu meningkatkan penghantaran ke rantau luar, termasuk Malaysia, sekali gus menyebabkan penurunan harga dalam pasaran automotif negara.
Presiden Persatuan Kenderaan Elektrik Malaysia (EVAM), Datuk Dennis Chuah berkata, bagaimanapun, penurunan harga EV baru-baru ini mencerminkan tanda semula jadi kematangan pasaran dan bukannya kelemahan.
“Dengan kemajuan teknologi serta peningkatan kecekapan rantaian bekalan EV global, kita kini menyaksikan penurunan kos bateri, peningkatan jumlah pengeluaran dan persaingan yang lebih sengit antara pengeluar.
“Keadaan ini akhirnya memberi manfaat kepada pengguna, menjadikan pemilikan EV lebih mampu milik dan mudah diakses.
“Namun begitu, adalah penting ditekankan bahawa pengurangan harga tidak boleh menjejaskan kualiti, terutamanya dalam aspek keselamatan bateri, kebolehpercayaan alat ganti dan perkhidmatan selepas jualan.
“Mengekalkan keyakinan pengguna memerlukan piawaian yang konsisten dalam sokongan produk, jaminan (waranti) dan penyelenggaraan sepanjang kitar hayat kenderaan,” katanya.
Menyentuh mengenai pengecualian cukai jalan bagi EV, beliau berkata, kadar cukai jalan untuk kenderaan elektrik telah pun dikeluarkan oleh pihak berkuasa berkaitan.
“Oleh itu, bermula 2026, kadar cukai jalan bagi EV akan mula dikuatkuasakan mengikut jadual yang telah ditetapkan.
“Sementara itu, insentif pengecualian hanya terpakai kepada kenderaan yang dipasang secara tempatan sahaja,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, kadar baharu Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan bagi EV bermula 1 Januari 2026 akan ditentukan mengikut kuasa motor elektrik, sekaligus menyaksikan pengurangan sehingga 85 peratus berbanding kadar semasa.
Bagaimanapun, ketika ini, semua kenderaan EV dikecualikan daripada membayar LKM yang dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2025.
Dalam pada itu, Dennis berkata, pelanjutan pengecualian duti import dan duti eksais bagi EV sehingga akhir 2027 di bawah dasar semasa kerajaan juga dijangka memacu keyakinan pelabur serta mengukuhkan hala tuju industri automotif negara.
Menurutnya, langkah itu dapat menyediakan rangka kerja pelaburan yang lebih jelas dan stabil kepada pemain industri dalam usaha memperkukuh ekosistem kenderaan elektrik tempatan.
“Tempoh lanjutan insentif tersebut turut memberi keyakinan kepada industri untuk membangunkan rantaian bekalan tempatan, memperkasa tenaga kerja mahir serta mempercepat pemindahan teknologi ke Malaysia.
“Pada masa sama, ia memastikan EV yang dipasang secara tempatan kekal berdaya saing dari segi harga, seiring aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab serantau pembuatan EV dan inovasi mobiliti hijau,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambahnya, kebanyakan jenama automotif utama telah mengumumkan atau memulakan rancangan untuk melaksanakan pemasangan tempatan (local assembly) EV di Malaysia, sekali gus menjadi langkah positif ke arah memperkukuh ekosistem EV negara. – UTUSAN