KUALA LUMPUR: Belanjawan 2026 yang dibentangkan baru-baru ini mencerminkan usaha kerajaan dalam mengetengahkan pendekatan ekonomi baharu yang memberi manfaat, khusus kepada golongan muda.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, pengumuman mengenai pendidikan percuma bagi kelompok berpendapatan rendah dan sederhana telah memberi kelegaan yang besar.
“Belanjawan kali ini mungkin bukanlah satu belanjawan yang sempurna, namun setidak-tidaknya terdapat pendekatan ekonomi ataupun inisiatif yang baru umpamanya buat golongan muda.
“Dahulu ada yang menyindir idea pendidikan percuma, tetapi hari ini kita buktikan bahawa ia mampu dilaksanakan bergantung kepada keupayaan kewangan semasa kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Usahawan Muda ASEAN 2025 ke-10 di sini, semalam.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mulai tahun hadapan, seramai 5,800 pelajar daripada keluarga miskin yang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akan menikmati pendidikan percuma PTPTN dengan peruntukan keseluruhan RM120 juta setahun.
Kamil berkata, belanjawan kali ini terus menekankan matlamat fiskal jangka panjang kerajaan Madani, khususnya dalam usaha mengurangkan defisit negara melalui tadbir urus yang lebih baik dan pengurusan yang cekap.
“Dalam tempoh tiga hingga empat tahun yang lalu, kita telah membuktikan bahawa pengurangan defisit fiskal adalah sesuatu yang boleh dicapai, asalkan wujud keazaman politik yang kuat, tadbir urus yang baik, dan pengurusan yang berkesan.
“Apabila semua ini dilaksanakan dengan baik, penjimatan yang diperoleh dapat disalurkan semula kepada rakyat,” ujarnya.
Mengulas tentang Karnival Usahawan Muda ASEAN ke-10, beliau berkata, acara itu merupakan peluang besar bagi golongan muda mempamerkan potensi perniagaan mereka bukan sahaja di peringkat domestik tetapi juga di peringkat global.
“Platform ini dimanfaatkan sebaiknya bukan sahaja untuk membina rangkaian, tetapi juga bagi meneroka peluang dan potensi perniagaan baharu, khususnya buat golongan belia.
“Turut terlibat dalam platform ini ialah Forum Ekonomi Dunia (WEF) serta rakan-rakan negara-negara ASEAN dan dari negara-negara Eropah,” tambahnya. – UTUSAN