PETALING JAYA: Pasaran buruh Malaysia kekal stabil dan berdaya tahan apabila kadar pengangguran bagi Ogos 2025 kekal pada 3.0 peratus, dengan jumlah penganggur menurun kepada 520,000 orang, menurut Jabatan Perangkaan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi ekonomi negara yang kukuh terus mendorong kestabilan pasaran buruh sepanjang bulan berkenaan.
“Dengan peningkatan tenaga buruh sebanyak 0.2 peratus kepada 17.51 juta orang serta kadar penyertaan tenaga buruh yang naik 0.1 mata peratus kepada 70.9 peratus, ini menunjukkan lebih ramai rakyat menyertai pasaran kerja,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, peningkatan tenaga kerja turut disokong oleh pertumbuhan dalam kategori pekerja bergaji dan bekerja sendiri, mencerminkan pasaran buruh yang semakin aktif dan inklusif.
“Sektor Perkhidmatan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan guna tenaga, didorong oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, maklumat dan komunikasi, serta perkhidmatan makanan dan minuman.
“Selain itu, sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pertanian turut merekodkan peningkatan guna tenaga sepanjang Ogos 2025,” katanya.
Mohd. Uzir berkata, bilangan mereka yang bekerja kurang daripada 30 jam seminggu menurun 0.5 peratus kepada 239,300 orang, manakala guna tenaga tidak penuh berkaitan masa berkurang 2.4 peratus kepada 131,600 orang, mengekalkan kadar 0.8 peratus.
Menurut beliau, penganggur aktif merupakan mereka yang sedia bekerja dan aktif mencari pekerjaan dan merangkumi 79.8 peratus daripada jumlah penganggur pada Ogos 2025.
“Daripada jumlah tersebut, 64.5 peratus menganggur kurang daripada tiga bulan, menunjukkan proses pengambilan kerja yang semakin pantas.
“Kadar pengangguran belia kekal stabil pada 10.2 peratus bagi kumpulan umur 15 hingga 24 tahun dan 6.2 peratus bagi kumpulan umur 15 hingga 30 tahun, mencerminkan prospek pekerjaan yang positif dalam kalangan anak muda,” katanya.
Sementara itu, bilangan luar tenaga buruh meningkat sedikit kepada 7.20 juta orang, dengan tanggungjawab keluarga serta bersekolah atau menjalani latihan kekal sebagai sebab utama tidak menyertai pasaran kerja. – UTUSAN