KUALA LUMPUR: Kadar Semalaman Islam Malaysia (MYOR-i) akan menjadi kadar rujukan mandatori bagi semua produk kewangan Islam mulai 1 Julai 2027.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, ini bukan sekadar pelarasan teknikal ia merupakan satu transformasi struktur yang signifikan.
“Sebagai kadar penanda aras Islam pertama di dunia yang berasaskan transaksi sebenar, MYOR-i membawa ketelusan, konsistensi dan penyelarasan syariah ke dalam teras sistem kewangan Islam,” katanya dalam ucapan sempena Forum Kewangan Islam Global (GIFF 2025) di Sasana Kijang semalam.
Menurut beliau, MYOR-i antara lima perkembangan utama yang sedang diterajui oleh Malaysia dalam memajukan ekosistem kewangan Islam.
“Ini termasuk dengan memperluas penggunaan struktur perkongsian risiko seperti Musharakah dan Mudharabah, penyelesaian kewangan Islam boleh menjadi lebih pelbagai berbanding instrumen hutang transaksi biasa, sekali gus menawarkan cadangan pulangan risiko yang lebih unik.
“Kedua, pembangunan inklusif melalui kewangan sosial Islam. Program iTEKAD yang menggabungkan kewangan sosial Islam dengan sistem arus perdana, terbukti berjaya meningkatkan kebolehupayaan komuniti.
“Ketiga, Malaysia meletakkan kewangan Islam sebagai pemacu dua pasaran utama ekonomi halal dan kewangan mampan. Penubuhan MIFC Business Network (MBN) dengan penyertaan sembilan pemain industri akan memperkukuh kerjasama sektor dan memperluas capaian global,” katanya.
Selain itu, perkembangan utama kelima iaitu Institusi seperti Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) dan Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) sedang memperkasa tenaga kerja melalui program seperti AQIF yang disesuaikan untuk pasaran ASEAN.
“Fokusnya adalah melahirkan tenaga profesional yang mahir, inovatif dan selaras dengan nilai maqasid syariah,” katanya.
Abdul Rasheed berkata, kewangan Islam dilihat sebagai alternatif berdaya tahan yang mampu menawarkan penyelesaian lebih adil dan inklusif.
Katanya, pertumbuhan ekonomi global yang diunjurkan sekitar tiga peratus oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memerlukan pendekatan baharu dalam reka bentuk sistem kewangan antarabangsa.
“Kewangan Islam bukan hanya soal pelaburan, tetapi juga berfungsi sebagai sistem sokongan sosial yang kukuh,” katanya.
Dengan unjuran industri kewangan Islam global bakal mencecah AS$9.7 trilion (RM40.9 trillion) menjelang 2039, Malaysia dilihat bersedia memainkan peranan utama dalam memimpin gelombang transformasi ini melalui pembangunan dasar, inovasi kontrak syariah dan pemerkasaan kewangan sosial.
Bertemakan merentasi tradisi dan nilai moral, memajukan perniagaan, memperkasa komuniti, GIFF 2025 ini menyerlahkan peranan nilai-nilai tradisi dan prinsip moral dalam membentuk masa depan kewangan dan perdagangan global yang lebih mampan. – UTUSAN