PUTRAJAYA: Pengkelasan baharu beberapa aktiviti ekonomi melalui Klasifikasi Perindustrian Standard Malaysia (MSIC) 2025 bakal membantu kerajaan mengukur corak pertumbuhan aktiviti tersebut dalam usaha mengukuhkan ekonomi negara.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, MSIC 2025 meningkat sebanyak 6.3 peratus berbanding 1,174 kod dalam MSIC 2008 versi 1.0 yang digunakan sejak 17 tahun lalu.
“Dengan pengkelasan yang lebih terperinci ini, kerajaan dan pihak industri dapat menilai prestasi ekonomi dengan lebih tepat, termasuk aspek seperti pertumbuhan sektor, kadar upah dan gaji, serta tahap penggunaan teknologi.
“Kita telah ada pun satu perkara penting iaitu bagaimana kita mengkelaskan aktiviti ekonomi yang membolehkan kita mengukur corak pertumbuhan di sektor mana, di industri mana, bahkan membantu kerajaan memberi tumpuan kepada industri yang perlu diberikan geran atau galakan perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Buku Malaysia Standard Industrial Classification (MSIC) 2025 di Putrajaya, hari ini.
Katanya, antara industri baharu baharu yang diwujudkan dalam struktur MSIC 2025 termasuk industri robotik, perlombongan unsur nadir bumi (REE), tenaga boleh diperbaharui, dron, glamping, pusat data, pertukaran aset digital (crypto asset) serta aktiviti penciptaan kandungan video dalam talian dan perkhidmatan perantaraan digital.
Tambahnya, industri-industri yang semakin suram (sunset) dan kurang signifikan turut dikaji semula dalam proses pengemaskinian MSIC 2025 bagi memastikan klasifikasi yang dibangunkan dapat kekal relevan dan mencerminkan industri semasa.
“Dalam pengkelasan baharu ini, memang ada beberapa industri lama yang digugurkan atau digabungkan kerana sudah tidak signifikan sumbangannya.
“Contohnya, industri yang dahulu berkaitan dengan pengeluaran cakera padat (CD) yang kini tidak lagi relevan atau dijalankan secara manual. Ada industri yang tidak digugurkan sepenuhnya, tetapi digabungkan dalam kategori lebih umum agar selaras dengan perkembangan semasa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pengenalan MSIC 2025 itu menjadikan Malaysia antara negara terawal di dunia mengadaptasi International Standard Industrial Classification (ISIC) Revision 5 yang diterbitkan oleh United Nations Statistics Division (UNSD) pada tahun 2023.
“Malaysia boleh dikatakan antara negara terawal mengadaptasi pengkelasan baharu itu dan ia akan digunakan sepenuhnya dalam pengukuran data ekonomi, khususnya melalui Banci Ekonomi 2026.
“Perkara yang selama ini kita ada datanya, kini dapat diperincikan. Misalnya, berapakah sumbangan pembuat kandungan (content creator) dan tenaga boleh diperbaharui (renewable energy) dalam ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN










