MBSB Bank sasar salur RM10 bilion pembiayaan mampan

MBSB Bank sasar salur RM10 bilion pembiayaan mampan menjelang 2026

MBSB Bank.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) menyasarkan untuk menyalurkan RM10 bilion menjelang 2026 ke dalam pembiayaan mampan dan peralihan merangkumi tenaga boleh diperbaharui, bangunan hijau dan projek kecekapan tenaga.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Rafe Haneef berkata, Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) akan melengkapkan usaha tersebut melalui dana perusahaan kecil dan sederhana (PKS) khusus. 

Jelasnya, ia seperti Dana Halal Accreditation and Technology Improvement (HATI), Future Ready Financing (FRF) dan Soft Financing Scheme for Automation & Modernisation (SFSAM), yang membantu perniagaan untuk menaik taraf, mendigitalkan operasi, serta mendapatkan pensijilan halal.

“Melalui Future Ready Financing (FRF) oleh MIDF, sebanyak RM200 juta telah diperuntukkan bagi membantu PKS mengadaptasi automasi dan alat digital.

“Dana Halal Accreditation and Technology Improvement (HATI) bernilai RM100 juta pula menyokong PKS yang berusaha mendapatkan pensijilan halal dan kesiapsiagaan untuk eksport.

“Pada masa yang sama, produk M-Property Financing oleh MBSB membolehkan PKS melabur dalam sistem solar fotovoltaik (PV) dan penambahbaikan bangunan hijau, selaras dengan fokus kerajaan terhadap kemampanan,” katanya dalam kenyataan. 

Beliau berkata, MBSB Bank menyokong agenda PKS kerajaan dalam Belanjawan 2026 dengan memperluas penyelesaian pembiayaan patuh syariah dan mampan. 

“Ini termasuk melalui jaminan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) bagi meningkatkan akses kepada PKS serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” katanya. 

Rafe berkata, MBSB Bank akan  MBSB memastikan akses pembiayaan tersebut sampai dengan memperluas akses melalui jaminan SJPP, pembiayaan mikro patuh syariah.

“Ini termasuk kerjasama dengan TEKUN Nasional, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan institusi kewangan pembangunan (DFI) yang lain.

“Bagi perniagaan yang kurang mendapat perkhidmatan, kami menyediakan laluan daripada pembiayaan mikro kepada pembiayaan PKS berstruktur, disokong oleh program MIDF seperti HATI dan FRF yang membantu perniagaan mendigitalkan operasi dan mendapatkan akreditasi halal,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN