MALAYSIA kini mencatat kedudukan ke-36 pada peringkat global dengan keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak AS$422 bilion (RM1.78 trilion) selaras dengan aspirasi untuk menjadi antara 30 ekonomi terbesar, menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2026.
Menurut laporan, pembaharuan dasar dan institusi serta pelaburan dalam modal insan, infrastruktur dan teknologi digital dalam industri maju seperti semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI) terus memacu momentum ini.
Katanya, pencapaian daya saing Malaysia juga meningkat dengan ketara sejak 2024 iaitu melonjak 11 anak tangga kepada kedudukan ke-23 dalam Kedudukan Daya Saing Dunia (WCR) Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD) 2025.
“Justeru, langkah mempelbagaikan perdagangan; memperkukuh aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&l) serta memperkemas peraturan, menambah baik tadbir urus dan ketersediaan digital akan diberikan keutamaan sejajar dengan hasrat untuk mencapai kelompok 12 teratas daya saing global menjelang 2033.
“Dari aspek pembangunan insan, Malaysia merekodkan peningkatan dalam skor Indeks Pembangunan Manusia (HDI) kepada 0.819 pada 2025 dan mencatat kedudukan ke-67 pada peringkat global,” katanya.
Tinjauan itu mendapati, pelaburan berterusan dalam penjagaan kesihatan dan pendidikan serta pengurangan ketidaksamaan terus menjadi keutamaan bagi meletakkan negara dalam kelompok 25 teratas HDI.
“Bahagian pampasan pekerja (PP) mencatat 33.6 peratus pada 2024 iaitu di bawah sasaran 45 peratus. Inisiatif seperti Dasar Gaji Progresif dan peningkatan kemahiran akan terus diberikan keutamaan dalam meningkatkan pertumbuhan produktiviti bagi merapatkan jurang ini.
“Sementara itu, penyertaan wanita dalam pasaran buruh meningkat daripada 56.2 peratus pada 2023 kepada 56.5 peratus pada 2024.
“Langkah memperluas perkhidmatan penjagaan kanak-kanak dengan harga berpatutan, aturan kerja fleksibel serta program peningkatan kemahiran dan latihan semula merupakan faktor utama untuk mencapai kadar penyertaan tenaga buruh wanita sebanyak 60 peratus,” ujarnya.
Sementara itu, kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) kekal di tangga ke-57 dengan skor 50 pada 2024.
“Walau bagaimanapun, bagi mencapai kedudukan 25 teratas CPI menjelang 2033 seperti yang dinyatakan dalam Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional, 2024 – 2028 (NACS), Malaysia perlu mencatat skor antara 68 hingga 70,” jelasnya. – UTUSAN