Lebihan akaun semasa imbangan pembayaran 2026 diunjur lebih rendah - Utusan Malaysia

Lebihan akaun semasa imbangan pembayaran 2026 diunjur lebih rendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEBIHAN akaun semasa imbangan pembayaran pada 2026 diunjur lebih rendah sebanyak RM23.2 bilion atau 1.1 peratus daripada pendapatan negara kasar (PNK).

Menurut Tinjauan Ekonomi 2026, penyusutan itu disebabkan oleh peningkatan bayaran melebihi peningkatan terimaan berikutan pelaksanaan pelaburan diluluskan dan kemajuan projek sedia ada.

Jelasnya, akaun barangan diunjur mencatat lebihan lebih kecil sebanyak RM98.3 bilion disebabkan oleh pengukuhan import khususnya bagi barangan modal yang melebihi peningkatan permintaan daripada rakan dagang utama.

“Namun begitu, akaun perkhidmatan dijangka mencatat lebihan kecil sebanyak RM0.1 bilion.

“Lebihan ini disumbangkan oleh peningkatan aliran masuk bersih dalam akaun perjalanan dan aliran keluar bersih lebih kecil dalam akaun perkhidmatan lain meskipun akaun pengangkutan merekodkan defisit lebih besar.

“Terimaan dalam akaun perjalanan dijangka meningkat kepada RM119.5 bilion disokong oleh peningkatan ketibaan pelancong.

“Bagaimanapun, bayaran dalam akaun perjalanan dijangka meningkat kepada RM65.3 bilion berikutan perbelanjaan residen di luar negara bagi aktiviti perjalanan perniagaan, pendidikan dan keagamaan,” katanya.

Sementara itu, terimaan dalam akaun pengangkutan diunjur mencecah RM37.1 bilion disumbangkan oleh pendapatan lebih tinggi daripada perkhidmatan perjalanan udara dan pengendalian kargo yang disediakan oleh syarikat domestik.

“Bagaimanapun, kebergantungan berterusan terhadap perkhidmatan pengangkutan asing dijangka meningkatkan bayaran dalam akaun pengangkutan kepada RM69.9 bilion.

“Justeru, akaun pengangkutan diunjur mencatat aliran keluar bersih lebih tinggi sebanyak RM32.8 bilion pada 2026.

“Akaun perkhidmatan lain juga dijangka mencatat defisit lebih kecil sebanyak RM21.4 bilion disokong oleh terimaan yang meningkat kepada RM130.6 bilion berikutan penghantaran balik keuntungan pelaburan dan penerusan projek strategik di luar negara.

“Namun begitu, bayaran dalam akaun perkhidmatan lain diunjur berjumlah RM152 bilion disebabkan oleh bayaran lebih tinggi untuk perkhidmatan telekomunikasi, komputer dan maklumat serta caj penggunaan harta intelek,” ujarnya.

Dalam pada itu, tinjauan menunjukan akaun pendapatan primer diunjur mencatat defisit lebih besar sebanyak RM61.6 bilion pada 2026 disebabkan oleh peningkatan bayaran dalam pampasan pekerja dan akaun pendapatan pelaburan.

“Bayaran dalam akaun pendapatan pelaburan dijangka meningkat berikutan penghantaran balik keuntungan oleh pelabur asing seiring dengan aktiviti pelaburan yang kukuh seterusnya mengakibatkan defisit lebih tinggi sebanyak RM49.9 bilion.

“Pampasan untuk profesional asing dijangka mencatat aliran keluar bersih lebih tinggi sebanyak RM11.7 bilion berikutan agenda pembangunan berterusan bagi industri pertumbuhan dan nilai tinggi (HGHV) seperti teknologi digital termasuk Al, pengkomputeran awan dan automasi.

“Bagaimanapun, defisit dalam akaun pendapatan sekunder diunjur mengecil iaitu sebanyak RM13.5 bilion terutamanya disumbangkan oleh peningkatan kiriman wang masuk oleh rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN