SHAH ALAM: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yakin Belanjawan 2026 akan memberi suntikan besar kepada agenda pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, fokus utama belanjawan kementerian kali ini merangkumi pembangunan perusahaan sosial dan inklusif, pengukuhan gerakan koperasi serta pembangunan industri francais, di samping tidak mengabaikan perusahaan mikro dan sektor informal.
“Saya hargai komitmen Kementerian Kewangan yang sudah mengadakan sesi libat urus belanjawan bersama KUSKOP.
“Saya yakin selepas pembentangan pada 10 Oktober nanti, kita akan menerima peruntukan besar bagi memastikan kejayaan agenda PMKS ini,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke kilang Glide Technology Sdn. Bhd. di sini, semalam.
Glide Technology merupakan satu daripada syarikat vendor yang menerima geran di bawah Program Pembangunan Kapasiti Vendor (PPKV) pada Disember 2024.
Menurut Ewon, kejayaan syarikat itu yang memperkenalkan produk inovasi baharu hasil kerjasama dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) membuktikan keberkesanan program pembangunan vendor KUSKOP.
“Saya berbangga dengan perkembangan syarikat ini, khususnya selepas menerima sokongan tambahan melalui SME Corp dan SME Bank.
“Saya percaya kejayaan Glide Technology akan terus berkembang dan suatu hari nanti mampu disenaraikan di Bursa Malaysia sebagai syarikat anchor,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, KUSKOP turut memberi tumpuan kepada Program Pembangunan Vendor (PPV) sebagai platform membangunkan syarikat bumiputera yang lebih berdaya saing, inovatif dan kompetitif dalam pasaran domestik serta antarabangsa.
“Setakat ini kementerian sudah menjalinkan kerjasama strategik bersama 38 syarikat anchor yang terdiri daripada pemain industri utama negara.
“Melalui platform PPV, vendor berdaftar dengan syarikat anchor berpeluang mendapat bimbingan latihan, sokongan teknikal, khidmat nasihat dan pembangunan penyelidikan.
“Antara inisiatif dibawah PPV ialah Geran Inovasi dan Pengkomersialan Vendor (GIPV) serta PPKV yang menjadi tunjang keberhasilan program vendor berdaya saing dan berprestasi tinggi,” jelasnya.
Mengulas lanjut mengenai tambahan peruntukan pada Belanjawan 2026, beliau enggan membuat sebarang anggaran.
“Jumlah sebenar kita tunggu pada pembentangan minggu depan, namun sudah pasti ada berita baik untuk PMKS,” katanya. – UTUSAN










