KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) terbuka untuk berbincang dengan semua pihak berkepentingan berkaitan unsur nadir bumi (REE).
Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, sektor itu dianggap strategik dan Khazanah turut menjalankan pelbagai kajian dalam bidang berkenaan.
“Justeru, kami terbuka untuk berunding serta bekerjasama dengan semua pihak.
“Peranan Khazanah adalah untuk menilai peluang yang bukan sahaja menjana nilai jangka panjang untuk negara, tetapi juga sejajar dengan trend global dalam kelestarian dan inovasi,” katanya kepada pemberita semasa sidang media selepas Forum Megatrends Khazanah 2025 (KMF) semalam.
Beliau berkata, syarikat pelaburan strategik negara itu sentiasa komited memainkan peranan dalam usaha memperkukuh sektor strategik yang mampu memacu kemajuan ekonomi negara.
“Kami sedar bahawa terdapat perbincangan kerajaan dengan kerajaan (G2G) antara Malaysia dan China berhubung REE.
“Kami juga bersedia untuk menyokong usaha kerajaan dalam meneroka serta memahami sektor baharu dan strategik, termasuk REE bagi memastikan masa depan ekonomi Malaysia terjamin,” katanya.
Sebelum ini Reuters melaporkan, China dan Malaysia sedang dalam perbincangan awal mengenai satu projek untuk memproses REE.
Katanya, Khazanah Nasional dijangka bekerjasama dengan sebuah syarikat milik kerajaan China bagi membina sebuah loji penapisan di negara Asia Tenggara itu.
Sementara itu, mengulas mengenai KMF 2025, beliau dalam ucapan berkata, Khazanah telah memperbaharui rangka kerja kemampanan di bawah tema “Menjamin Masa Hadapan”.
“Rangka kerja ini berpaksikan tiga tonggak utama yang menjadi panduan dalam segala tindakan dan keputusan kami.
“Tonggak pertama ialah ekonomi yang stabil dan kukuh, dicapai melalui pelaburan strategik di dalam dan luar negara, manakala tonggak kedua menekankan kesejahteraan untuk semua dengan meletakkan rakyat sebagai pusat kepada agenda kemampanan kami.
“Sementara itu, tonggak ketiga memberi fokus kepada pembangunan komuniti yang makmur, melalui usaha membina keupayaan, memupuk ekosistem berdaya tahan serta memperkasa rakyat dalam menghadapi dunia yang sedang berubah dengan pesat,” ujarnya.
Beliau berkata, ketiga-tiga tonggak itu menjadi panduan utama dalam cara kami melabur, beroperasi, dan berinteraksi dengan pihak berkepentingan.
“Kami juga sedar bahawa perubahan iklim merupakan isu yang merentasi setiap tonggak ini.
“Justeru, Pendekatan Pengurusan Perubahan Iklim kami memberi tumpuan kepada memperkukuh daya tahan portfolio, melindungi komuniti daripada risiko berkaitan dengan perubahan iklim serta mempertingkatkan tindakan iklim yang benar-benar membawa makna,” katanya. – UTUSAN