Kerajaan peruntuk RM419.2 bilion dalam Belanjawan 2026 - Utusan Malaysia

Kerajaan peruntuk RM419.2 bilion dalam Belanjawan 2026

BELANJAWAN dipengaruhi bukan hanya hasil dan perbelanjaan tetapi juga oleh faktor geopolitik, harga komoditi, perdagangan dan rantaian bekalan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JUMLAH perbelanjaan pada 2026 diunjur pada RM419.2 bilion atau 19.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2026.

Menurut laporan itu, peruntukan perbelanjaan mengurus (OE) diunjur meningkat sederhana berjumlah RM338.2 bilion atau 15.9 peratus daripada KDNK berikutan peruntukan subsidi yang lebih rendah walaupun terdapat peningkatan dalam komponen OE yang lain.

Katanya, peruntukan perbelanjaan pembangunan (DE) dinaikkan kepada RM81 bilion atau 3.8 peratus daripada KDNK bagi membiayai program dan projek baharu di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas 2026 – 2030 (RMK13).

“Selain itu, pelaburan sumber secara bersama melalui entiti berkaitan kerajaan dan projek di bawah Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030) akan menjadi pelengkap kepada agenda pembangunan negara.

“Dasar perbelanjaan akan terus memberikan tumpuan kepada penyasaran semula subsidi menyeluruh untuk memastikan bantuan diberikan kepada penerima yang berkelayakan,” katanya.

Laporan turut menyatakan kutipan hasil untuk 2026 dianggar berjumlah RM343.1 bilion, didorong oleh peningkatan dalam cukai langsung dan tidak langsung.

Jelasnya, pelaksanaan setahun penuh cukai jualan yang diperluas dan peningkatan cukai perkhidmatan serta disokong oleh inisiatif pendigitalan berterusan oleh agensi kutipan cukai berkaitan akan memastikan penjanaan hasil lebih mampan.

“Pemakaian sistem e-Invois yang dilaksanakan secara berperingkat mulai 2024 akan diwajibkan ke atas perniagaan dengan pendapatan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta pada 2026 seterusnya menyumbang ke arah pematuhan dan pentadbiran cukai lebih menyeluruh.

“Sementara itu, hasil bukan cukai diunjur berkurang kepada RM72.7 bilion terutamanya disebabkan oleh jangkaan pendapatan pelaburan yang lebih rendah,” jelasnya.

Secara keseluruhan, defisit fiskal diunjur mengecil kepada 3.5 peratus daripada KDNK pada 2026 selaras dengan trajektori jangka masa sederhana berpandukan objektif fiskal di bawah Akta 850.

“Langkah konsolidasi secara berperingkat ini menunjukkan usaha kerajaan yang teguh dalam mengimbangi antara usaha menyokong pertumbuhan dengan mengekalkan disiplin fiskal.

“Sementara itu, defisit primer dijangka berkurang kepada 0.8 peratus daripada KDNK, sekali gus menunjukkan komitmen konsolidasi fiskal yang berterusan,” jelasnya.

Mengenai perbelanjaan 2025, menurut laporan, jumlah perbelanjaan telah disemak semula kepada RM412.1 bilion iaitu peningkatan sebanyak 1.6 peratus berbanding 2024.

“Perbelanjaan OE dijangka meningkat sederhana iaitu 3.3 peratus kepada RM332.1 bilion berikutan langkah pengoptimuman perbelanjaan yang meliputi penyusunan semula keutamaan program dan penelitian semula subsidi pukal.

“Penjimatan daripada pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api disalurkan semula terutamanya melalui bantuan tunai untuk Budi Madani dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta menambah baik kemudahan kesihatan, pendidikan dan infrastruktur asas.

“Program Budi Madani RON95 (BUDI95) diperkenalkan dengan had bulanan 300 liter bagi setiap warganegara yang mempunyal lesen memandu yang sah pada harga subsidi RM1.99 seliter bagi menambah baik agenda penyasaran semula subsidi,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN