Kerajaan perlu fokus latihan tenaga kerja sedia

Kerajaan perlu fokus latihan tenaga kerja sedia

RA THIAGARAJA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberi penekanan serius terhadap pembangunan tenaga kerja sedia ada, satu kumpulan yang sering kali terlepas pandang dalam dasar latihan dan peningkatan kemahiran nasional dalam pembentangan Belanjawan 2026. 

Ketua Pegawai Eksekutif K PINTAR Sdn. Bhd. (K PINTAR), RA Thiagaraja berkata, kebanyakan inisiatif yang disediakan untuk graduan universiti dan pencari kerja baharu, tetapi pekerja sedia ada sering terlepas pandang.

“Jika kita melihat hari ini, banyak inisiatif disasarkan kepada graduan baharu dan pelajar universiti. 

“Tetapi, bagaimana pula dengan golongan pekerja sedia ada yang kini mewakili kira-kira 15.15 juta rakyat Malaysia, hampir 50 peratus daripada keseluruhan populasi negara?,” katanya kepada pemberita Majlis Pelancaran Persidangan Pengurusan Perubahan ASEAN ke-2 (ACMC 2025) di Bangsar semalam.

K PINTAR ialah sebuah syarikat penyedia penyelesaian pembangunan modal insan di Malaysia yang memberi tumpuan kepada latihan, pembangunan kemahiran, pensijilan industri dan program pembelajaran sepanjang hayat. 

Syarikat itu banyak bekerjasama dengan agensi kerajaan, industri dan institusi pendidikan tinggi untuk menyokong agenda peningkatan kemahiran dan penyesuaian semula kemahiran pekerja Malaysia terutamanya dalam menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 dan ekonomi digital.

Thiagaraja berkata, berdasarkan data Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan dokumen Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13), hanya 28 peratus daripada tenaga kerja negara dikategorikan sebagai pekerja berkemahiran tinggi dan peratusan ini tidak menunjukkan peningkatan signifikan sejak 2010. 

“Ini bermakna sekitar 70 peratus tenaga kerja adalah tidak berkemahiran khusus, biasanya termasuk dalam kategori berpendapatan rendah. 

“Suka atau tidak, inflasi dan kos sara hidup semakin meningkat. Sekiranya kenaikan gaji tahunan saya hanya RM160, bagaimana pula dengan golongan berpendapatan rendah? Ada yang hanya naik RM50 atau RM100. Dengan itu, bagaimana mereka boleh terus bertahan?,” soalnya.

Thiagaraja menekankan pelbagai program latihan memang telah ditawarkan, namun kualiti dan keberkesanan program tersebut perlu dikaji semula. 

“Adakah latihan yang diberikan benar-benar membantu pekerja memperoleh sijil atau kelayakan industri yang membolehkan mereka menaik taraf kerjaya dan pendapatan?

“Ramai pekerja yang menghadiri latihan tetapi latihan apa? Adakah ia membawa kepada kenaikan gaji? Adakah mereka mendapat sijil yang diiktiraf industri? Itulah persoalannya. Ilmu itu penting, tapi adakah ilmu itu boleh diterjemahkan kepada gaji yang lebih baik?,” tanya beliau lagi. 

Beliau mencadangkan agar kerajaan menetapkan dasar nasional yang lebih tegas dan terarah melalui agensi seperti HRD Corp dan TalentCorp, untuk memastikan setiap program latihan yang dijalankan bagi pekerja sedia ada menyampaikan sijil yang diiktiraf industri dan bukan sekadar latihan bersifat umum.

“Kerajaan perlu mewajibkan setiap latihan melibatkan kelayakan yang boleh digunakan untuk kenaikan pangkat atau peningkatan gaji. Jika tidak, latihan itu hanya menambah ilmu tanpa impak ekonomi,” katanya. 

Beliau turut menekankan keperluan untuk membangunkan barisan pemimpin dan pengurus masa depan, dengan kemahiran yang sesuai dengan kehendak industri moden.

“Formula lama tidak akan beri keputusan berbeza dan kita memerlukan formula baharu untuk hasil yang baharu. Latihan pengurusan dan pembangunan kepimpinan juga perlu diberi perhatian,” katanya. 

Dalam menilai Belanjawan 2025, beliau menyatakan secara jujur pendekatannya masih belum mencukupi dari sudut pengupayaan tenaga kerja sedia ada.

“Secara peribadi, saya tidak nampak tumpuan serius dalam Belanjawan 2025 kepada isu ini. Sudah tiba masanya kerajaan mengubah pendekatan,” katanya.

Belanjawan 2026 dijangka dibentangkan di Parlimen pada 10 Oktober ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×