KERAJAAN terus mempercepat digitalisasi merentas sektor awam dalam Belanjawan 2026 untuk meningkatkan kecekapan, ketelusan dan kebolehcapaian, menurut Tinjauan Ekonomi 2026.
Laporan berkata, penyampaian perkhidmatan sedang diperkemas melalui inisiatif GoTech di seluruh negara seperti MyVisa 2.0, MyJPJ dan pusat sehenti digital bagi mengurangkan beban birokrasi dan menyediakan transaksi yang lebih lancar.
Katanya, Belanjawan 2026 akan terus menyediakan peruntukan dalam infrastruktur digital, integrasi data dan pembangunan kapasiti bagi memastikan perkhidmatan yang lebih pantas, terangkum dan berpaksikan rakyat.
“Penggerak utama usaha ini adalah melalui pelancaran MyDigital ID yang menyediakan pengesahan identiti secara digital kepada rakyat untuk memastikan capaian selamat kepada perkhidmatan kerajaan dan sektor swasta.
“Dalam pada itu, peningkatan penerimagunaan digitalisasi dalam sektor awam akan memperkukuh pengurusan fiskal dan mengoptimumkan kutipan hasil.
“Penggunaan kaedah termaju seperti kecerdasan buatan (AI), analitik data raya dan automasi semakin meningkat bagi menambah baik pemantauan, pematuhan dan penguatkuasaan,” katanya.
Melangkah ke hadapan, laporan berkata, kerajaan akan terus meluaskan digitalisasi perkhidmatan awam untuk menyediakan perkhidmatan yang mudah dan telus.
Sementara itu, kerajaan akan memperkenalkan Pelan Tindakan Al Kebangsaan 2030 iaitu rangka kerja tadbir urus yang menyeluruh untuk membimbing dan mempercepat penggunaan Al merentas sektor utama, di samping memperkukuh keupayaan nasional dalam penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&l).
“Sehubungan itu, Belanjawan 2026 akan memberikan tumpuan kepada penggunaan Al dan analitik data raya untuk memperkemas proses pembuatan keputusan, mengoptimumkan sumber serta menambah baik kecekapan merentas industri dan perkhidmatan awam.
“Malaysia mampu mempercepat peralihan ke arah ekonomi yang dinamik dan inovatif yang akan meningkatkan lagi peranan negara dalam rantaian nilai global dengan menerapkan Al merentas industri dan memupuk budaya inovasi,” jelasnya.
Tambahnya, Belanjawan 2026 juga menyediakan peruntukan termasuk dana pemula dan pembiayaan pelaburan bersama untuk syarikat pemula yang berpotensi.
“Kerajaan akan terus meningkatkan produktiviti dan daya saing dalam industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) dan sektor strategik berimpak tinggi melalui penyediaan dasar secara bersasar.
“Program ini termasuk Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) yang menekankan pembangunan kemahiran dan keusahawanan untuk meningkatkan penyertaan dan pemilikan bermakna bagi golongan bumiputera dalam industri dan sektor tersebut,” jelasnya. – UTUSAN