PETALING JAYA: Kaunter-kaunter syarikat berkaitan kelapa sawit, semikonduktor dan sarung tangan mencatatkan kenaikan di Bursa Malaysia selepas pemeteraian perjanjian tarif Malaysia-Amerika Syarikat (AS) kelmarin.
Semalam, kaunter syarikat pengeluar minyak sawit ditutup tinggi antaranya United Plantations Bhd. meningkat 2.08 peratus kepada RM24.50, SD Guthrie Bhd. melonjak 2.86 peratus kepada RM5.40 dan Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) naik 1.85 peratus kepada RM20.90.
Bagi kaunter syarikat teknologi semikonduktor pula, Malaysian Pacific Industries Bhd. ditutup pada RM30.54 dengan kenaikan 1.87 peratus, KESM Industries Bhd. melonjak 2.33 peratus kepada RM3.52 dan Inari Amertron Bhd. meningkat 3.98 peratus kepada RM2.61.
Selain itu, kaunter syarikat pengeluar sarung tangan juga menunjukkan prestasi positif dengan Hartalega Holdings Bhd ditutup 3.23 peratus lebih tinggi kepada RM1.28, Kossan Rubber Industries Bhd. naik 4.03 peratus kepada RM1.29 dan Top Glove Corporation Bhd. meningkat 1.48 peratus kepada 68 sen.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, lonjakan tersebut didorong oleh sentimen positif terhadap potensi pembukaan pasaran baharu serta pengurangan tarif perdagangan antara kedua-dua negara.
“Perjanjian itu dilihat membuka peluang lebih luas kepada para pemain sektor tempatan, khususnya dalam eksport minyak sawit mentah dan produk hiliran.
“Dengan pelaksanaan tarif sifar, produk minyak sawit Malaysia dijangka menjadi lebih kompetitif di pasaran global, sekali gus meningkatkan hasil dan keuntungan syarikat-syarikat yang terlibat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ahad lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, pengecualian tarif yang diberikan AS kepada lebih 1,711 produk eksport utama Malaysia dijangka berkuat kuasa dalam tempoh 60 hari selepas pertukaran surat rasmi antara kedua-dua negara.
Ia susulan pemeteraian Perjanjian Timbal Balik Malaysia–AS pada Sidang Kemuncak ASEAN yang menyaksikan Malaysia berjaya memperoleh pengecualian tarif bagi pelbagai produk bernilai strategik.
Ini termasuk minyak sawit, barangan berasaskan getah, produk koko, komponen dan alat ganti pesawat serta farmaseutikal.
Sementara itu, Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pengekalan kadar tarif sebanyak 19 peratus oleh AS meletakkan daya saing Malaysia pada tahap yg tinggi dengan kelebihan itu berbanding dengan negara-negara lain di dunia, terutama di Asia Tenggara.
“Ini menjadikan produk keluaran negara iaitu minyak sawit, getah, koko, komponen farmaseutikal dan peralatan aeroangkasa menjadi lebih murah berbanding negara-negara lain yang bersaing di pasaran terbesar dunia tersebut.
“Ia juga akan berupaya menarik pelaburan asing yang lebih besar dalam sektor-sektor berkenaan kerana menyedari kelebihan malaysia dalam persaingan di dalam pasaran AS,” katanya.
Aimi Zulhazmi berkata, tarif lebih rendah itu akan beri kesan positif kepada industri pembuatan dan pertanian negara.
“Pastinya ia memberi impak positif kepada industri pembuatan negara termasuk membangunkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) dengan lebih pesat.
“Kerajaan juga telah menetapkan hanya pelaburan asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) untuk industri pembuatan bernilai tinggi dipilih bagi membangunkan sektor seperti yang telah dilandaskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baru 2030 (NIMP 2030),” ujarnya. – UTUSAN










