Jumlah pampasan meningkat, industri insurans berdepan tekanan - PIAM - Utusan Malaysia

Jumlah pampasan meningkat, industri insurans berdepan tekanan – PIAM

CHUA KIM SOON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Industri insurans kenderaan di Malaysia berdepan tekanan berterusan berikutan peningkatan jumlah kemalangan jalan raya, kenaikan pampasan mahkamah, inflasi harga alat ganti, serta lonjakan dalam kes tuntutan palsu yang berkait dengan ancaman siber.

Menurut data terkini, kadar kemalangan jalan raya di Malaysia terus menunjukkan peningkatan dengan purata 115 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Chua Kim Soon berkata, trend semasa turut menunjukkan kenaikan ketara dalam jumlah pampasan kecederaan peribadi yang dianugerahkan oleh mahkamah.

Katanya, semakin banyak kes dilaporkan melibatkan pampasan melebihi RM1 juta, manakala jumlah pampasan antara RM50,000 hingga RM100,000 juga semakin kerap berlaku.

“Perkembangan ini meningkatkan liabiliti kewangan syarikat insurans dan boleh memberi kesan kepada premium masa hadapan.


“Kos alat ganti juga mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 10 peratus didorong oleh kebergantungan tinggi terhadap komponen import, khususnya bagi model kenderaan baharu.

“Situasi ini bukan sahaja meningkatkan kos pembaikan, tetapi turut memberi kesan kepada struktur premium dan penyediaan perlindungan komprehensif oleh syarikat insurans,” katanya dalam taklimat media bagi separuh pertama 2025 di sini semalam.

Dalam aspek keselamatan digital, Kim Soon berkata, kes berkaitan ancaman siber meningkat 14 peratus kepada 4,219 kes pada 2024, mencetuskan kebimbangan terhadap potensi tuntutan palsu yang boleh menjejaskan kewangan dan reputasi syarikat insurans.

“Penipuan siber kini menjadi salah satu cabaran utama dalam pengurusan tuntutan insurans motor secara digital.

“Keperluan segera untuk memperkukuh sistem keselamatan digital, menilai semula struktur perlindungan insurans motor dan memperkemas strategi pengurusan risiko perlu dibuat sejajar dengan landskap kemalangan dan teknologi kenderaan yang terus berkembang,” katanya.

Kim Soon berkata, banjir besar yang melanda Malaysia pada Disember 2021 mengakibatkan kerugian ekonomi dianggarkan antara RM5.3 bilion hingga RM6.5 bilion.

“Namun begitu, syarikat insurans hanya menanggung sekitar 20 hingga 30 peratus daripada jumlah kerugian tersebut, mendedahkan jurang besar dalam tahap perlindungan semasa terhadap bencana alam.

“Data turut menunjukkan pengambilan perlindungan banjir bagi kenderaan bermotor kekal rendah pada hanya 12 peratus, manakala perlindungan banjir bagi polisi kebakaran hanya sekitar 30 peratus.

“Tahap perlindungan yang rendah ini menimbulkan kebimbangan terhadap tahap kesediaan pengguna dan perniagaan menghadapi risiko iklim yang semakin tidak menentu,” katanya.

Sementara itu, Kim Soon berkata, pihaknya turut menghadapi cabaran kritikal dalam era teknologi dan transformasi digital, termasuk peningkatan risiko siber, adaptasi kecerdasan buatan (AI), dan impak daripada kenderaan tenaga baharu (NEV).

“Institusi kewangan termasuk syarikat insurans kekal sebagai sasaran utama dalam serangan siber, dengan sebahagian besar insiden penipuan digital berpunca daripada kelemahan dalam keselamatan siber.

“Risiko ini menimbulkan kebimbangan terhadap kepercayaan pengguna serta kestabilan operasi digital sektor kewangan,” katanya.

Dalam masa sama, kemunculan teknologi baharu seperti bateri berkapasiti tinggi dan sistem elektronik canggih, khususnya dalam NEV turut membawa risiko baru yang belum sepenuhnya difahami atau diinsuranskan.

“Ini menuntut penyesuaian segera daripada penyedia insurans bagi menilai semula struktur perlindungan sedia ada,” katanya.

PIAM memaklumkan, insurans motor di Malaysia mencatatkan peningkatan kepada RM5.3 bilion bagi separuh pertama tahun 2025, berbanding RM5.0 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Katanya, kenaikan ini mewakili pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 6.7 peratus didorong terutamanya oleh segmen kenderaan persendirian yang menyumbang 78.5 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Lonjakan dalam segmen ini disokong oleh pertumbuhan kukuh sebanyak 35.6 peratus dalam pendaftaran baharu kenderaan hibrid dan elektrik mencerminkan peningkatan minat pengguna terhadap mobiliti mampan serta insentif kerajaan untuk mempercepatkan penggunaan kenderaan mesra alam.

Peningkatan ini juga mencerminkan keyakinan yang semakin pulih dalam pasaran automotif tempatan, disokong oleh pemulihan ekonomi pasca pandemik dan dasar-dasar sokongan terhadap teknologi hijau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN