JLand dinobat sebagai pemaju terbaik Malaysia - Utusan Malaysia

JLand dinobat sebagai pemaju terbaik Malaysia

BARISAN pemenang Anugerah PropertyGuru Malaysia ke-12 dengan kerjasama iProperty 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: JLand Group dinobat sebagai Pemaju Terbaik Malaysia sekali gus mengungguli Anugerah PropertyGuru Asia Malaysia ke-12 yang meraikan syarikat pemaju hartanah terkemuka negara menerusi 73 kategori secara keseluruhan.

Syarikat pemaju hartanah itu turut meraih anugerah utama Pemaju Terbaik (Malaysia Selatan) dan Pemaju Perindustrian Terbaik.

Bandar utamanya, Bandar Dato’ Onn meraih tiga anugerah, termasuk Pembangunan Perbandaran Terbaik (Malaysia).

Kumpulan Jland terima Anugerah Pemaju Terbaik Malaysia

Pengurus Besar, Anugerah dan Acara Hartanah Asia PropertyGuru, Jules Kay berkata, tahun ini, beberapa kategori baharu telah ditambah bagi mencerminkan kepantasan evolusi pasaran.

“Kami teruja melihat nama-nama baharu dalam senarai pendek yang turut serta bersama tokoh legenda industri dalam membangunkan pasaran hartanah Malaysia yang dinamik.

“Kami juga akan memberi penghormatan kepada individu yang membuat perubahan sebenar, selain mengiktiraf projek dan syarikat yang menerajui kelestarian dengan membina bangunan yang mengikuti pematuhan kawal selia alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah PropertyGuru Asia Malaysia ke-12, di sini semalam.

Sementara itu, CPI Land turut diiktiraf sebagai Pemaju Terbaik (Malaysia Tengah) hasil inovasi dan komitmen syarikat dalam membangunkan projek-projek berkualiti tinggi di Lembah Klang.

Bagi wilayah Malaysia Timur, Interhill Group membawa pulang gelaran sebagai Pemaju Terbaik, mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pemaju paling berpengaruh di Sabah dan Sarawak.

Secara keseluruhan, majlis anugerah yang dianjurkan dengan kerjasama iProperty dan disampaikan oleh Lim Soh & Goonting Advocates & Solicitors itu mengiktiraf kecemerlangan industri melalui 73 kategori.

Ia meliputi pembangunan kediaman mewah, perumahan mampu milik dan projek komersial inovatif di seluruh negara.

Selain itu, Kumpulan Berinda telah dianugerahkan Pemaju Lestari Terbaik, di samping kemenangan untuk projek Ponderosa Vista dan City Square Office Tower.

Diiktiraf sebagai Pembangun Terobosan Terbaik, Faire Development turut menerima anugerah untuk projek yang dikenali sebagai baé.

Mah Sing Group Berhad pula menerima gelaran Pemaju Gaya Hidup Terbaik, disokong oleh anugerah untuk projek M Terra manakala MTD Properties meraih anugerah Pemaju Rumah Mampu Milik Terbaik manakala TSLAW Land ( Pemaju Butik Terbaik).

Memperoleh sejumlah tujuh anugerah tahun ini, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menerima gelaran Juara Reka Bentuk Lestari dan Juara Rendah Karbon kerana menerapkan piawaian ESG ke dalam strategi terasnya.

PKNS turut mengumpul trofi untuk Aludra Residensi, Linkar 52, dan Galeria SA Sentral.

Penilaian anugerah dilakukan berdasarkan pandangan panel juri bebas, data pasaran dan maklum balas umum.

Penganugerahan ini terus menjadi penanda aras utama kecemerlangan industri hartanah Malaysia serta platform penting untuk menghargai pemaju yang komited terhadap kemampanan dan inovasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN