KUALA LUMPUR: Insight Analytics Berhad bermula mencatatkan peningkatan sebanyak 72 peratus ketika penampilan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia kepada 62 sen sesaham berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 36 sen sesaham.
Saham syarikat teknologi air dan penyelesaian pengurusan aset pintar itu meningkat sehingga 73.5 sen pada pukul 9.10 pagi, dengan lebih 33.46 juta unit bertukar tangan.
Pengarah Urusan Insights Analytics, Ts. Frank Wee berkata, pembukaan dagangan yang kukuh itu mencerminkan keyakinan pelabur terhadap visi serta tumpuan jangka panjang syarikat untuk memacu transformasi digital dan teknologi air pintar di Malaysia.
“Pembukaan kukuh ini menunjukkan bahawa kami berada di landasan yang betul dan pelabur percaya dengan visi serta tumpuan kami,” katanya dalam sidang akhbar selepas penyenaraian syarikat itu di sini, semalam.
Beliau berkata, syarikat optimis terhadap prospek pertumbuhan masa depan selari peningkatan permintaan terhadap sistem pengurusan air pintar dan agenda transformasi digital negara yang semakin pesat.
Menurutnya, hasil kutipan daripada penyenaraian akan digunakan bagi memperkukuh operasi, termasuk perluasan pejabat dan pengambilan tenaga kerja baharu di Sarawak serta semenanjung Malaysia.
“Kami sudah mengenal pasti kawasan dan lokasi bagi perluasan pejabat, dan akan memulakannya dengan pantas. Dalam dua hingga tiga bulan akan datang, anda akan lihat pertumbuhan pesat,” katanya.
Beliau berkata, penyelesaian utama syarikat termasuk Sistem IntelliWater dan penyelesaian pengurusan aset pintar, yang sejajar dengan pelbagai inisiatif kerajaan seperti Program Air Tidak Berhasil (NRW) Kebangsaan 2025–2030, Inisiatif Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS), Transformasi Sektor Air 2040 dan Pelan Induk Infrastruktur Air Pintar Sarawak bernilai RM20 bilion.
“Kami juga sedang mengembangkan penerapan teknologi digital twin yang membolehkan representasi maya dunia sebenar untuk pelbagai sektor bukan hanya air.
“Digital twin ialah asas penting untuk masa depan infrastruktur pintar. Jika sebelum ini kami melihat paip air, kini teknologi yang sama boleh digunakan untuk paip gas, kabel elektrik atau rangkaian bandar pintar.
“Semua orang mahukan data dan simulasi berasaskan kecerdasan buatan (AI), justeru kami percaya potensi digital twin sangat besar,” katanya
Syarikat kini mempunyai empat tender aktif di Sarawak dengan nilai potensi terkumpul RM27.8 juta, merangkumi penyelesaian teknologi air termaju dan kerja berkaitan infrastruktur. – UTUSAN










