Inflasi kekal terkawal meskipun tekanan harga meningkat

Inflasi kekal terkawal meskipun tekanan harga meningkat

KADAR inflasi meningkat kepada 1.5 peratus pada September 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar inflasi Malaysia pada September  sejajar dengan unjuran pasaran dan masih menunjukkan keadaan harga yang stabil walaupun berlaku pelaksanaan rasionalisasi subsidi bahan api RON95 pada hujung bulan lalu.

Menurut laporan CIMB Treasury and Markets Research, kadar inflasi pada 1.5 peratus pada September 2025, dipacu oleh kenaikan harga makanan, pengangkutan, perumahan dan barangan peribadi.

“Kenaikan harga bulanan sebanyak 0.2 peratus mencerminkan peningkatan permintaan dalam negeri yang kekal kukuh, khususnya dalam kategori makanan dan minuman yang naik 2.1 peratus serta perumahan dan utiliti yang meningkat 1.5 peratus,” katanya.

Laporan itu turut memaklumkan inflasi teras meningkat sedikit kepada 2.1 peratus tahun ke tahun, berbanding 2.0 peratus pada Ogos, manakala inflasi perkhidmatan naik kepada 2.4 peratus, menandakan tekanan permintaan domestik yang sederhana namun terkawal.

“Kenaikan harga paling ketara direkodkan dalam kategori pengangkutan, yang meningkat kepada 0.7 peratus pada September berbanding 0.2 peratus pada Ogos. Ia didorong oleh peningkatan kos penyelenggaraan kenderaan sebanyak 4.4 peratus serta harga alat ganti yang naik 1.4 peratus.

“Sementara itu, harga petrol mencatat penurunan kecil sebanyak -0.3 peratus berbanding tahun sebelumnya, namun naik 0.1 peratus secara bulanan selepas harga RON97 meningkat daripada RM3.15 kepada RM3.19 seliter,” tambah laporan itu. 

Mengulas lanjut, laporan itu berkata, kesan penuh rasionalisasi subsidi BUDI95 hanya akan dapat dilihat sepenuhnya pada data Oktober, namun setakat ini kesannya terhadap inflasi kekal terhad memandangkan 99 peratus pengguna masih menikmati harga kawalan RON95.

Dalam masa sama, kategori kesihatan turut menunjukkan peningkatan 1.3 peratus, sebahagian besarnya disumbangkan oleh kenaikan kos insurans kesihatan sekali sahaja pada bulan Julai. 

“Kesan asas ini dijangka menyebabkan kadar tahunan kategori tersebut mencatatkan peningkatan dua digit.

“Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2025, inflasi purata Malaysia kekal rendah pada 1.4 peratus, menandakan tekanan harga keseluruhan masih terkawal dan seiring pertumbuhan ekonomi sederhana sebanyak 4.7 peratus bagi tempoh sama,” jelas laporan itu. 

Walau bagaimanapun, CIMB menegaskan bahawa walaupun Indeks Harga Pengguna (CPI) meningkat, deflator Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kekal negatif pada paras -0.9 peratus pada separuh pertama tahun ini, situasi yang lazimnya menandakan tekanan deflasi di peringkat pengeluar.

Katanya, perbezaan itu disebabkan faktor struktur dalam kaedah pengukuran harga di mana deflator KDNK lebih sensitif terhadap pergerakan harga pengeluar. 

Indeks Harga Pengeluar (PPI) menurun -2.3 peratus bagi lapan bulan pertama 2025, manakala Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan naik hanya 0.8 peratus.

“Ini menunjukkan kelemahan deflator KDNK berpunca daripada kejatuhan harga input dan komoditi, bukannya daripada kelemahan permintaan pengguna,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN