PETALING JAYA: Indeks nilai seunit eksport Malaysia terus mencatatkan peningkatan 0.9 peratus kepada 154.2 mata pada September 2025 daripada 152.9 mata pada bulan sebelumnya.
Sementara itu, indeks nilai seunit import menurun 0.2 peratus daripada 124.8 mata kepada 124.5 mata. Bagaimanapun, terma perdagangan Malaysia bertumbuh 1.1 peratus bulan ke bulan daripada 122.5 mata kepada 123.9 mata pada September 2025.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, kenaikan itu disumbangkan oleh peningkatan dalam indeks minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran sebanyak 3.4 peratus, makanan (+0.8 peratus) serta alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+0.7 peratus).
“Indeks volum eksport juga berkembang 4.7 peratus selaras dengan kenaikan dalam indeks alat jentera dan kelengkapan pengangkutan sebanyak 13.0 peratus dan bahan mentah tidak boleh dimakan (+7.9 peratus).
“Indeks volum eksport pelarasan bermusim juga turut naik 0.9 peratus daripada 162.5 mata kepada 163.9 mata. Merujuk kepada perbandingan tahunan, kedua-dua indeks nilai seunit dan indeks volum eksport meningkat 3.3 peratus dan 8.6 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, beliau berkata, indeks nilai seunit import pula merosot 0.2 peratus pada September 2025, disumbangkan oleh penurunan dalam indeks minyak galian sebanyak negatif 2.8 peratus, alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-0.6 peratus) dan barang-barang keluaran kilang (-0.4 peratus).
“Sementara itu, indeks volum import bertambah 3.2 peratus pada September 2025 berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh kenaikan dalam indeks minyak galian sebanyak 30.6 peratus), minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (+30.1 peratus) serta alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+2.9 peratus).
“Indeks volum import pelarasan bermusim juga turut menaik 7.6 peratus daripada 205.8 mata kepada. 221.4 mata.
“Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan indeks nilai seunit menurun 2.1 peratus manakala indeks volum import menaik 9.5 peratus,” ujarnya. – UTUSAN










