PETALING JAYA: Human Resource Development Corporation (HRD Corp) melancarkan Inisiatif Professional Advancement in Trucking and Haulage (PATH) untuk mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan memperkukuh tenaga kerja logistik negara.
Inisiatif PATH merupakan program strategik yang dibangunkan oleh Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) melalui HRD Corp dan Kementerian Pengangkutan (MOT)
HRD Corp dalam kenyataan berkata, program ini bertujuan menangani masalah kekurangan pemandu lori berkemahiran dengan merapatkan jurang pekerja sedia ada dan menyediakan peluang peningkatan kemahiran serta pertumbuhan profesional
“Malaysia kini berdepan dengan kekurangan lebih 4,000 pemandu berlesen walaupun terdapat lebih 16,000 kepala lori (prime movers) berdaftar di seluruh negara.
“Kekurangan ini menjejaskan kecekapan, melambatkan rantaian bekalan dan meningkatkan kos operasi merentasi pelbagai industri,”katanya
Sebelum ini, PATH mula diperkenalkan pada tahun 2024 di Pelabuhan Klang yang melibatkan 200 pemandu memperoleh lesen dan pensijilan mereka.
Inisiatif PATH menyasarkan 1,000 peserta termasuk pekerja industri logistik sedia ada dan rakyat Malaysia yang menganggur sebagai sebahagian daripada program perintis yang dilaksanakan di Pulau Pinang, Selangor, Johor dan Pahang.
Menurut HRD Corp, inisiatif ini memberi tumpuan kepada penganugerahan pensijilan peningkatan kemahiran yang diiktiraf industri termasuk lesen memandu komersial, kemahiran pemanduan defensif lanjutan serta latihan keselamatan dan pematuhan.
“Perkara ini bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran dan potensi pendapatan mereka tetapi mempertingkatkan keselamatan jalan raya melalui amalan pemanduan berhemah,” katanya.
Majlis pelancaran yang diadakan di Ibu Pejabat Pelabuhan Pulau Pinang telah disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Yang turut hadir Datuk Abu Huraira bin Abu Yazid, Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Seri Chan Kong Yew, Ahli Lembaga Pengarah HRD Corp, Dr. Syed Alwi Mohamed Sultan, Ketua Eksekutif HRD Corp, para pemimpin sektor logistik Malaysia, pemain industri dan pihak berkepentingan. – UTUSAN