Hong Leong Bank perkasa usahawan muda Vietnam dengan So Ban Hang

Hong Leong Bank perkasa usahawan muda Vietnam dengan So Ban Hang

hong leong
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hong Leong Bank (HLB), bank pertama dari Malaysia yang beroperasi di Vietnam menandatangani perkongsian strategik dengan So Ban Hang, aplikasi pengurusan perniagaan terkemuka di negara itu sempena sambutan Hari Usahawan Vietnam.

Kerjasama ini didorong oleh visi bersama untuk memperkasa usahawan muda dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Vietnam, membantu mereka bukan sahaja mengurus perniagaan dengan lebih berkesan tetapi juga membina kekayaan yang mampan.

HLB berkata, selaras dengan konsep ‘Digital Bank Plus Much More’, HLB bersama So Ban Hang akan menyediakan penyelesaian pengurusan kewangan digital yang menyeluruh dan bersepadu untuk PMKS, menggabungkan transaksi kewangan, pembiayaan dan perbankan perniagaan dalam satu platform digital tunggal.

Jelansya, penyelesaian ini menawarkan pelbagai fungsi penting terus dalam aplikasi So Ban Hang seperti pembukaan akaun HLB secara dalam talian, perakaunan dan penyimpanan rekod automatik, pembayaran QR yang mematuhi cukai serta pengeluaran e-invois segera.

“Penyelesaian bersepadu ini diperkenalkan tepat pada masanya dengan pelaksanaan pembaharuan cukai baharu di Vietnam, membolehkan PMKS mengakses alat yang direka khas untuk memastikan pematuhan terhadap peraturan terkini dan memudahkan urusan rekod yang kompleks.

“Dengan mempermudah pengurusan kewangan, platform ini membolehkan usahawan menumpukan perhatian kepada aktiviti teras perniagaan mereka tanpa perlu bimbang tentang kerumitan undang-undang cukai baharu,” katanya dalam kenyataan.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Kevin Lam berkata, sebagai sebuah bank yang berakar umbi pada semangat keusahawanan dan rekod kukuh dalam menyokong perniagaan kecil, pihaknya amat memahami keperluan serta cabaran pelbagai usahawan di Vietnam sejak mula beroperasi di negara itu 2009.

“Operasi kami di Vietnam telah menunjukkan momentum pertumbuhan yang ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan kami berhasrat untuk memperluaskan penawaran produk runcit serta memperkukuh platform perbankan digital bagi terus menyokong pasaran yang dinamik ini,” ujarnya.

Sektor PMKS di Vietnam kini menjadi tulang belakang ekonomi negara itu, merangkumi lebih 97 peratus daripada jumlah perusahaan dan menyumbang hampir 59 peratus pekerjaan di seluruh negara, menurut laporan Asia SME Monitor 2022.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif So Ban Hang, Bùi Hải Nam berkata, misi So Ban Hang adalah untuk memudahkan urusan dan pertumbuhan perniagaan kecil.

“Bersama HLB, kami mewujudkan penyelesaian menyeluruh untuk mengurus perniagaan daripada jualan, pembayaran QR, perakaunan dan cukai hingga ke perbankan moden, Semuanya bersepadu dalam satu aplikasi mudah alih.

“Lebih penting, kami ingin membantu perniagaan kecil beroperasi dengan cara yang mudah, selamat dan menjimatkan kos supaya setiap pemilik kedai boleh fokus untuk berkembang dengan yakin dalam persekitaran yang mencabar namun penuh peluang ini,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN