HASIL Kerajaan Persekutuan bagi 2026 diunjur meningkat sebanyak 2.7 peratus kepada RM343.1 bilion, menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2026.
Laporan berkata, ini terutamanya disumbangkan oleh hasil cukai yang dianggar sebanyak RM270.4 bilion merangkumi 78.8 peratus daripada jumlah hasil atau 12.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Katanya, hasil bukan cukai pula dianggar sebanyak RM72.7 bilion atau 3.4 peratus daripada KDNK terutamanya disokong oleh pendapatan pelaburan dan sumber sedia ada lain seperti lesen dan permit.
“Jumlah keseluruhan hasil yang lebih tinggi menunjukkan peningkatan kecekapan kutipan cukai serta impak positif pembaharuan fiskal yang berterusan,” katanya.
Menurut lapoan itu, kutipan cukai langsung diunjur meningkat sebanyak 5.8 peratus kepada RM187.4 bilion merangkumi 69.3 peratus daripada jumlah hasil cukai terutamanya didorong oleh kutipan cukai pendapatan individu dan syarikat yang lebih tinggi.
Jelasnya, kutipan cukai pendapatan syarikat (CITA) kekal sebagai sumber terbesar cukai langsung dengan anggaran sebanyak RM103.4 bilion disokong oleh aktiviti ekonomi domestik yang kekal mampan dan pelaksanaan penuh sistem e-Invois pada 2026 yang akan meningkatkan jumlah pembayar cukai berdaftar.
“Cukai pendapatan individu juga dianggar meningkat sebanyak 9.4 peratus kepada RM49.1 bilion yang mencerminkan kestabilan pasaran buruh dan pertumbuhan gaji berterusan.
“Fasa kedua pelarasan gaji penjawat awam di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dijangka terus memperluas asas percukaian dan menyumbang secara positif kepada kutipan cukai pendapatan individu.
“Selain itu, hasil daripada komponen cukai langsung lain khususnya duti setem dan cukai keuntungan harta tanah (CKHT) dianggar meningkat kepada RM10.3 bilion dan RM2.4 bilion sejajar dengan pertambahan transaksi dalam sektor hartanah,” ujarnya.
Tambahnya, cukai tidak langsung diunjur meningkat sebanyak 8.9 peratus kepada RM83 bilion pada 2026 disokong oleh langkah dasar bersasar dan permintaan domestik yang kukuh.
Jelasnya, kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dijangka kekal sebagai komponen utama yang menyumbang sebanyak RM59.6 bilion atau 71.8 peratus daripada jumlah hasil cukai tidak langsung iaitu 2.8 peratus daripada KDNK.
“Hasil bukan cukai diunjur berkurang 9.9 peratus kepada RM72.7 bilion, terutamanya disebabkan oleh bayaran dividen Petronas yang lebih rendah berjumlah RM20 bilion, manakala Khazanah dijangka menyumbang RM2 bilion.
“Hasil berkaitan petroleum diunjur terus berkurang pada 2026 kepada RM43 bilion merangkumi 12.5 peratus daripada jumlah hasil terutamanya disebabkan oleh dividen Petronas yang lebih rendah.
“Penurunan ini merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan kepada hasil berasaskan komoditi berikutan ketidaktentuan harga,” ujarnya.
Mengenai 2025 pula, laporan berkata, hasil Kerajaan Persekutuan pada 2025 disemak semula dan dijangka meningkat sebanyak 2.9 peratus kepada RM334.1 bilion berbanding 2024 berikutan usaha berterusan kerajaan untuk meluaskan asas cukai.
Katanya, hasil cukai kekal sebagai penyumbang utama kepada kutipan hasil keseluruhan merangkumi 75.8 peratus daripada jumlah hasil atau 12.6 peratus daripada KDNK.
“Bahagian hasil bukan cukai kepada jumlah hasil pula dianggar berkurang kepada RM80.7 bilion atau 24.2 peratus daripada jumlah hasil.
“Cukai langsung dianggar meningkat sebanyak 3.2 peratus kepada RM177.1 bilion terutamanya didorong oleh kutipan cukai pendapatan individu dan syarikat yang lebih tinggi berjumlah RM141.9 bilion,” ujarnya. – UTUSAN