PETALING JAYA: Harga emas global jatuh mendadak berikutan aktiviti pengambilan untung serta penyusutan permintaan aset selamat apabila ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China semakin reda.
Sehingga Jumaat lalu, emas berada pada paras AS$4,113.48 seaun atau RM558.55 segram.
Harga emas global jatuh mendadak sebanyak 5.3 peratus kepada AS$4,125 seauns pada Selasa, mencatatkan kejatuhan harian paling besar dalam tempoh lima tahun.
Menurut laporan CIMB Treasury and Markets Research, sentimen pasaran global bertambah positif selepas Presiden AS, Donald Trump menyatakan keyakinan terhadap rundingan perdagangan yang lebih adil dengan Presiden China, Xi Jinping, sekali gus mengurangkan kebimbangan terhadap perang tarif baharu antara dua kuasa ekonomi itu.
“Isyarat positif daripada Washington dan Beijing mendorong pelabur untuk beralih daripada aset lindung nilai seperti emas kepada pasaran saham, menyebabkan indeks Standard & Poor’s 500 (S&P 500) kekal stabil manakala hasil sekuriti Perbendaharaan Amerika Syarikat (UST) terus menurun.
“Sementara itu, Trump turut menangguhkan perancangan untuk mengadakan sidang kemuncak bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin selepas Moscow enggan menerima gesaan gencatan senjata segera di Ukraine. Langkah itu sedikit menjejaskan prospek rundingan damai antara kedua-dua negara.
“Di Jepun, pasaran ekuiti meningkat selepas pelantikan Perdana Menteri baharu, Sanae Takaichi, wanita pertama memegang jawatan itu yang berikrar untuk merancakkan semula pertumbuhan menerusi rangsangan fiskal ala-Abenomics.
“Pelabur menjangka dasar kewangan longgar akan diteruskan, sekali gus menekan yen yang susut 0.8 peratus berbanding dolar AS,” katanya.
Dalam pasaran serantau, perhatian pelabur kini turut tertumpu kepada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di mana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual bertemu Trump bagi membincangkan langkah memperkukuh hubungan dagangan dan pelaburan Malaysia dan AS.
“Malaysia mengekalkan pendirian dasar luar yang seimbang antara AS, China dan rakan serantau ASEAN bagi memastikan kestabilan perdagangan dan pelaburan jangka panjang,” katanya.
Tambahnya, bagi pasaran bon, hasil bon kerajaan Malaysia (MGS) meningkat selepas lelongan bon 20 tahun mencatatkan permintaan sederhana dengan kadar bidaan 1.70 kali.
“Hasil purata bagi MGS 05/44 meningkat kepada 3.98 peratus, dengan kadar tertinggi 4.01 peratus.
“Sebaliknya, pasaran bon kerajaan Indonesia (IndoGB) mengukuh selepas lelongan terbaharu menarik minat kukuh daripada pelabur tempatan dan asing, dengan bidaan mencecah 118 trilion rupiah. Kementerian Kewangan Indonesia menambah saiz terbitan sebanyak 5 trilion rupiah kepada 28 trilion rupiah berikutan permintaan tinggi.
“Pasaran bon Thailand pula melemah selepas permintaan lemah terhadap lelongan 25 tahun yang mencatat kadar bidaan terendah dalam sejarah terkini, menunjukkan kebimbangan terhadap penilaian harga dan kedudukan baht yang semakin lemah,” tambahnya. – UTUSAN










