SHAH ALAM: Glide Technology Sdn. Bhd. (Glide Technology) melancarkan MPOB-GLIDE Palm Oil-Based Insulating Oil, iaitu minyak penebat pertama berasaskan 100 peratus minyak sawit yang dihasilkan syarikat Bumiputera dengan kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Presiden Kumpulan Glide, Datuk Muhazli Muhamad berkata, sebagai sebahagian rancangan masa depan, Glide Technology akan membangunkan kemudahan pengeluaran pelincir dan minyak penebat yang sepenuhnya automasi dan digital dengan kapasiti sehingga 8,000 tan matrik (MT) sebulan.
Menurutnya, pelaburan itu akan meningkatkan kecekapan tenaga, mengurangkan sisa pengeluaran, dan memacu penggunaan teknologi hijau dalam sektor pelincir dan tenaga.
“Glide Technology turut membuka peluang kepada pelabur strategik tempatan seperti Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan antarabangsa untuk menyertai perjalanan pertumbuhan ini, menjadikan Malaysia pusat rujukan bagi minyak penebat berasaskan sawit.
Beliau berkata demikian pada Majlis Lawatan Kerja Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick ke syarikat itu baru-baru ini.
Beliau berkata, pasaran minyak penebat berasaskan Natural Ester dianggarkan bernilai sekitar AS$1.2 bilion (RM5.05 bilion) hingga AS$1.25 bilion (RM5.26 bilion) pada 2024 dan dijangka meningkat kepada AS$2.4 bilion (RM10.09 bilion) hingga AS$2.5 bilion (RM10.52 bilion) menjelang 2033 dengan kadar pertumbuhan tahunan sekitar 8.25 peratus hingga 9.2 peratus.
“Pemacu utama pertumbuhan ini termasuk permintaan terhadap alternatif mesra alam dan lestari bagi minyak mineral, ketahanan api yang lebih baik serta konduktiviti haba yang tinggi.
“Kami berharap pihak Tenaga Nasional Berhad Dan IPP, sama ada Grid mahupun Distribution akan menyokong inisiatif berani ini oleh MPOB sebagai agensi kerajaan dan Glide Technology sebagai pengeluar SME Bumiputera dengan menjadi juara kepada minyak penebat MPOB-GLIDE yang dihasilkan sepenuhnya di Malaysia,” katanya.
Dalam lawatan kerja itu, Ewon Benedick turut merasmikan fasiliti makmal penyelidikan baharu Glide Technology yang dilengkapi peralatan ujian moden hasil sokongan Program Pembangunan Kapasiti Vendor (PPKV) dari SME Bank Malaysia Bhd. (SME Bank).
Kemudahan itu meningkatkan kapasiti penyelidikan dan pembangunan (R&D) syarikat untuk memenuhi permintaan sektor tenaga Malaysia dan Asia Tenggara, selain memperkukuh inovasi dalam pembangunan produk hijau.
Majlis itu turut menyaksikan penyerahan cek replika bernilai RM200,000 di bawah Inisiatif Business Export Programme (BEP) oleh SME Bank dan Penyerahan Sijil Kelulusan dan Pematuhan SIRIM (Peraturan 58) untuk produk pelincir Glide Technology.
Selain itu, ia turut merangkumi Pertukaran Surat Hasrat (LOI) dengan UniKL Resources Sdn. Bhd. untuk pembangunan komersial dan keusahawanan serta Pertukaran Memorandum Perjanjian (MOA) dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di bawah Vendor Development Program.
Sementara itu, Muhazli berkata, Glide menyasarkan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 2027 bersempena 20 tahun tempoh syarikat dalam bidang perniagaan itu.
“Kami bermula sebagai syarikat mikro, menyewa ruang kecil dengan bantuan pelbagai agensi.
“Kini, dengan dorongan kerajaan dan sokongan kewangan, kami berkembang menjadi syarikat berprestasi tinggi.
“Impian kami adalah untuk melangkah ke Bursa Malaysia, sekaligus mengangkat nama Glide Technology sebagai syarikat besar yang membanggakan negara,” ujarnya. -UTUSAN