Firefly perkenal laluan Cebu, Siem Reap, Krabi November ini

Firefly perkenal laluan Cebu, Siem Reap, Krabi November ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Firefly bakal memperkenalkan tiga destinasi antarabangsa baharu melibatkan Cebu di Filipina, Siem Reap (Kemboja) dan Krabi (Thailand) November ini sebagai sebahagian usaha memperkukuh rangkaian penerbangan serantau.

Ketua Pegawai Operasinya, Kapten Hamdan Che Ismail berkata, strategi itu memberi fokus kepada penggunaan lapangan terbang sekunder dan tertiari bagi melengkapkan rangkaian Malaysia Airlines Berhad (MAB).

“Firefly tidak diposisikan sebagai premium kerana kita tidak mahu meniru model MAB. Pada masa sama, kita bukan sepenuhnya syarikat tambang murah kerana segmen itu sudah dikuasai pemain lain.

“Firefly juga mengendalikan operasi sewaan ke China, termasuk Nanjing dan Macau,” katanya pada majlis Airline 101 MAG di MAB Academy, Zon Sokongan Selatan Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, beliau berkata, Firefly sentiasa menekankan kemudahan pelanggan termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang sering berdepan kesesakan.

“Di KLIA, kita cuba memaksimumkan penggunaan kiosk daftar masuk layan diri serta sistem self-service baggage drop yang sebelum ini kurang digunakan. Bagi penumpang kali pertama yang tidak biasa, kakitangan kita turut membantu supaya proses daftar masuk lebih lancar dan cepat,” jelasnya.

Menurutnya, Firefly kini mengoperasikan 40 pesawat termasuk sembilan ATR-72 turboprop yang kebanyakannya beroperasi di Semenanjung Malaysia dengan jadual dari 6 pagi hingga 12 tengah malam.

“Kita juga mengekalkan ciri-ciri layanan mesra Malaysia melalui latihan kru kabin dan juruterbang di MAG Academy. Walaupun menaiki Firefly, penumpang tetap akan merasai sentuhan hospitaliti Malaysia,” katanya.

Jelasnya, Firefly turut menawarkan pakej nilai seperti bagasi percuma 10 kilogram, tujuh kilogram kabin dan sedikit maknan ringgan percuma, di samping harga tiket kompetitif.

Hamdan berkata, keperluan pelanggan akan terus menjadi keutamaan termasuk aspek ketepatan masa (OTP), keselesaan perjalanan serta sambungan rangkaian antarabangsa melalui perkongsian dengan MAB.

“Firefly mahu memastikan pengalaman bersama kru kabin lebih bermakna, sementara rangkaian ini akan memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN