Ekonomi China dijangka sederhana kerana cabaran perdagangan, kelembapan hartanah - Utusan Malaysia

Ekonomi China dijangka sederhana kerana cabaran perdagangan, kelembapan hartanah

PERJALANAN kapal dagang China ke United Kingdom dianggarkan 18 hari lebih cepat berbanding tenpoh biasa iaitu selama 40 hari. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EKONOMI China dijangka berkembang sederhana pada kadar 4.2 peratus pada 2026, berikutan sekatan perdagangan yang lebih ketat serta ketidaktentuan pelaburan dalam sektor pembuatan dan permintaan buruh, menurut Laporan Tinjauan Ekonomi Global.

Pertumbuhan tersebut mencerminkan kesan berpanjangan daripada kelemahan sektor hartanah, yang terus mengekang sentimen pelaburan dan perbelanjaan domestik.

Walaupun begitu, inflasi dijangka meningkat sedikit kepada 0.6 peratus, manakala kadar pengangguran kekal stabil pada 5.1 peratus, menunjukkan tahap penyesuaian ekonomi yang terkawal.

Pada tahun 2025, ekonomi China diramal menyederhana kepada 4.8 peratus, selepas mencatatkan pertumbuhan 5.3 peratus pada separuh pertama 2025, melepasi kadar 5 peratus bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

“Pertumbuhan itu didorong oleh permintaan domestik yang kukuh, menyumbang 68.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dan dipacu oleh sektor perkhidmatan yang berkembang 5.5 peratus,” katanya.

Menurut laporan itu, subsektor utama yang menyokong peningkatan tersebut termasuk perkhidmatan penghantaran maklumat, perisian dan teknologi maklumat, diikuti oleh penyewaan dan perkhidmatan perniagaan, pengangkutan, penyimpanan dan perkhidmatan pos, serta perdagangan borong dan runcit.

Sementara itu, inflasi kekal rendah pada 0.1 peratus hasil bekalan makanan yang mencukupi, terutamanya bagi sayur-sayuran segar dan bijirin, manakala kadar pengangguran meningkat sedikit kepada 5.2 peratus.

“Pelaburan swasta dijangka menguncup sebanyak 11.2 peratus disebabkan oleh kelembapan dalam pelaburan hartanah dan ketidakpastian terhadap permintaan luar,” menurut laporan itu.

Tambah laporan itu, risiko utama terhadap ekonomi China termasuk peningkatan ketegangan perdagangan global, gangguan rantaian bekalan, serta ketidaktentuan harga komoditi yang boleh menjejaskan prestasi eksport dan pelaburan sektor perkilangan.

Selain itu, kelemahan berpanjangan dalam sektor hartanah dijangka terus membebankan pertumbuhan, khususnya dalam konteks permintaan domestik dan kestabilan kewangan, sekali gus menuntut langkah dasar lebih proaktif bagi mengimbangi semula struktur ekonomi negara itu menjelang 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN