PETALING JAYA: CIMB Bank Berhad (CIMB) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi kewangan terkemuka apabila meraih tiga pengiktirafan berprestij di The Asian Banker Global Excellence in Retail Financial Services Awards 2025.
Tiga anugerah tersebut ialah Bank Runcit Terbaik di Malaysia, Pembiayaan PKS Digital Terbaik di Malaysia dan Inisiatif Kewangan Hijau Terbaik di Malaysia, sekali gus menonjolkan kekuatan CIMB dalam aspek pendigitalan dan kelestarian.
Menurut kenyataan, The Asian Banker berkata, anugerah Best Retail Bank in Malaysia diberikan sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan CIMB dalam inovasi digital, pengurusan kekayaan serta inisiatif perbankan yang inklusif dan mampan.
“Tahap penggunaan digital dalam kalangan pelanggan CIMB juga tinggi, dengan majoriti menggunakan platform digital sebagai saluran utama.
“Bank itu turut memperkenalkan semula segmen Preferred dengan manfaat gaya hidup serantau eksklusif melalui kad kredit Preferred Visa Infinite.
“Antara produk inklusif lain ialah kad debit Visa yang menawarkan pulangan tunai berasaskan perjalanan dan sumbangan kepada kanak-kanak yang menghidap cerebral palsy.
“Dalam bidang pelaburan, pelanggan turut mendapat manfaat melalui pengurusan portfolio masa nyata di platform MyWealth serta pandangan pelaburan daripada laman sesawang Pejabat Pelaburan Utama (CIO),” katanya.
Sebagai sebahagian komitmen CIMB terhadap alam sekitar, bank itu turut melancarkan cawangan hijau yang menggunakan bahan cekap tenaga dan mesra kerusi roda.
Pelaburan strategik dalam pengurusan hubungan pelanggan (CRM), kecerdasan buatan (AI) dan migrasi awan juga membolehkan CIMB menawarkan perkhidmatan lebih diperibadikan serta memperkukuh kepercayaan pelanggan melalui pencegahan penipuan yang lebih berkesan.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Malaysia, Gurdip Singh Sidhu berkata, pengiktirafan tersebut mencerminkan usaha berterusan bank dalam meningkatkan pengalaman pelanggan melalui inovasi dan adaptasi teknologi.
“CIMB komited untuk memperkasa pelanggan dan masyarakat. Infrastruktur serta pelaburan kami dalam teknologi, analisis data dan AI membolehkan kami memenuhi keperluan pengguna yang sentiasa berubah dengan lebih cekap dan berdaya saing.
“Dalam segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS), CIMB kekal komited membantu pelanggan menutup jurang pembiayaan serta modal bagi merancakkan pertumbuhan perniagaan,” katanya.
Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata, bagi kategori Best Digital SME Financing in Malaysia, The Asian Banker mengiktiraf aplikasi perbankan perniagaan baharu CIMB, CIMB OCTO Biz, yang mencatat kadar penggunaan tinggi dalam kalangan PKS.
“Inisiatif tersebut turut dilengkapkan dengan platform digital sepenuhnya, SME Instant Apply, yang mempercepatkan akses pembiayaan kepada PKS.
“Sejak dilancarkan, platform itu telah merekodkan nilai permohonan hampir RM500 juta dalam tempoh sembilan bulan, dengan 90 peratus daripadanya bagi pembiayaan modal kerja,” katanya.
Sementara itu, anugerah Best Green Finance Initiative in Malaysia diberikan kepada program CIMB GreenBizReady, yang mencerminkan komitmen CIMB membantu PKS Malaysia beralih ke arah ekonomi rendah karbon.
Program tersebut menyediakan latihan, khidmat nasihat serta padanan kepada pembekal dan penyedia perkhidmatan berkaitan kelestarian.
Antara komponen utama ialah Pembiayaan Pautan Kelestarian (Sustainability-Linked Financing) untuk PKS, dengan peruntukan sebanyak RM3 bilion sehingga tahun 2030 serta rebat pembiayaan yang menarik.
Selain itu, CIMB turut memperkenalkan CIMB ESG Simplified Playbook for SMEs, panduan praktikal untuk mengurangkan pelepasan karbon daripada penggunaan elektrik, petrol dan diesel, lengkap dengan kalkulator karbon mesra pengguna.-UTUSAN