CIDB komited tingkat kemahiran tenaga kerja, kontraktor - Utusan Malaysia

CIDB komited tingkat kemahiran tenaga kerja, kontraktor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) akan mempergiat usaha memperkasa kapasiti industri melalui peluasan tajaan latihan serta insentif pembangunan yang menyasarkan peningkatan kemahiran tenaga kerja dan kontraktor di seluruh negara dalam Belanjawan 2026.

Ketua Eksekutif CIDB, Zainora Zainal berkata, ini selari dengan usaha kerajaan yang menumpukan keutamaan nasional ke arah pertumbuhan mampan, pembangunan modal insan dan inovasi teknologi.

“CIDB menyokong tumpuan berterusan kerajaan terhadap pemodenan infrastruktur, pemerkasaan Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan transformasi digital yang menjadi teras utama kepada pembentukan ekosistem pembinaan yang mampan dan berdaya saing tinggi.

“Ia selaras dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan nilai kemampanan, ihsan dan daya cipta dalam pembangunan negara.

“Sebagai agensi yang diberi mandat untuk memacu pembangunan industri pembinaan negara, CIDB kekal komited untuk menyelaraskan pelaksanaan programnya dengan agenda kerajaan bagi mempertingkatkan kapasiti, produktiviti dan kemampanan industri pembinaan negara,” katanya dalam kenyataan.

Antara inisiatif yang bakal dilaksanakan termasuk tajaan latihan bagi warga tempatan untuk 1,500 personel dalam bidang Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan 1,500 profesional dalam bidang berkaitan BIM.

Selain itu, tajaan penuh bagi warga tempatan untuk 5,000 personel binaan dan 4,500 belia di bawah program kompetensi kemahiran CIDB, tajaan bagi kontraktor untuk mengikuti latihan dalam BIM, penyertaan dalam program Kemudahan Kecil Memulakan Inovasi Berdaya Tahan (SFERA) serta Kontraktor Cekap Plus dan banyak lagi.

Menurut Zainora, inisiatif ini selaras dengan komitmen kerajaan di bawah Belanjawan 2026 untuk mempertingkatkan kemahiran tenaga kerja, memperkukuh daya saing PKS serta menggalakkan penggunaan teknologi hijau dan digital di seluruh industri utama negara.

Katanya, ini mencerminkan pendekatan berwawasan yang meletakkan modal insan dan teknologi sebagai teras kepada agenda pembangunan Malaysia.

“Belanjawan 2026 mengukuhkan fokus kerajaan terhadap pembangunan modal insan dan keupayaan teknologi negara, dua elemen penting dalam mentransformasikan sektor pembinaan.

“CIDB bersedia mempercepat transformasi ini dengan memastikan kontraktor, profesional dan tenaga kerja mahir kita dilengkapi untuk bersaing dalam industri yang semakin digital, mampan dan berdaya global,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN