Bursa Malaysia optimis capai 60 IPO hujung tahun ini - Utusan Malaysia

Bursa Malaysia optimis capai 60 IPO hujung tahun ini

FAD'L Mohamed (empat dari kiri) bersama Lim Hui Ying (tengah) semasa Forum Parallel Financial Street CGS MY di sini semalam, yang diadakan secara serentak di Beijing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia optimis mampu mencapai 60 tawaran awam permulaan (IPO) pada tahun ini didorong keyakinan pelabur dan saluran kukuh syarikat yang ingin mengumpul modal di platform tempatan.

Setakat ini, sebanyak 47 penyenaraian baharu telah dilaksanakan di pasaran saham tempatan iaitu tujuh di Pasaran Utama, Pasaran ACE (37) dan Pasaran LEAP (tiga).

Penyenaraian yang akan datang untuk tahun ini termasuk Geohan Corporation Bhd., Loob Bhd. dan LAC Med, yang semuanya dijadualkan bagi Pasaran Utama.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Fad’l Mohamed berkata, pihaknya terus menyaksikan permintaan kukuh daripada syarikat-syarikat untuk menjana modal di platform Bursa Malaysia.

“Kami terus mempunyai barisan prospek yang kukuh untuk tahun hadapan, jadi saya melihat momentum ini akan berterusan.

“Bagi pasaran IPO tahun depan kami masih mempunyai barisan prospek yang kukuh dan kami terus melihat dorongan kuat daripada syarikat-syarikat untuk mengumpul modal di platform bursa.

“Jadi, saya rasa prospek masih sangat kukuh untuk 2026 juga. Insya-Allah, kami akan terus mengekalkan momentum tersebut,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Forum Parallel Financial Street CGS MY di sini semalam, yang diadakan secara serentak di Beijing.

Acara itu menghimpunkan perwakilan global dan pemimpin kanan yang terdiri daripada pembuat dasar, pengawal selia kewangan dan pengurus dana untuk bertukar pandangan kritikal serta langkah tindakan bagi memperkukuh integrasi kewangan dan pertumbuhan mampan berhubung dengan Inisiatif Jalur dan Jalan.

Fad’l berkata, Bursa Malaysia telah menjemput pelaburan daripada ekonomi di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan untuk menyertai Asean Common Carbon Framework, satu inisiatif yang diperkenalkan oleh bursa tersebut di bawah kepengerusian Malaysia dalam ASEAN.

Menurutnya, prinsip utama rangka kerja itu ialah untuk meningkatkan penawaran dan permintaan bagi kredit karbon berkualiti tinggi di rantau ini.

“Kami mengalu-alukan pelaburan daripada ekonomi Jalur dan Laluan untuk menyokong rangka kerja ini. Dalam pasaran karbon ASEAN yang saling berhubung, kami percaya China boleh memainkan peranan penting dalam memberikan isyarat permintaan,” katanya.

Pada masa sama, Bursa Malaysia dan rakan sejawatnya dalam rangkaian Asean Exchanges sedang bekerjasama melalui Ekosistem Kelestarian Antara ASEAN (Asean-ISE) untuk membangunkan infrastruktur data berpusat bagi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Beliau berkata, inisiatif itu akan meningkatkan ketelusan, menggalakkan metrik ESG yang boleh dibandingkan serta menarik pembiayaan mampan untuk projek-projek Jalur dan Laluan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dalam ucapannya berkata, kerjasama inisiatif Jalur dan Jalan telah memberikan hasil sejak 12 tahun lalu, yang mana perdagangan antara Malaysia dan China meningkat daripada RM181 bilion pada 2012 kepada RM484 bilion tahun lalu.

“China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia, dengan projek infrastruktur daripada inisiatif tersebut, khususnya Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bakal membentuk semula ketersambungan di seluruh negara.

“Dalam masa sama, kerjasama ini telah berkembang ke bidang baharu seperti kewangan, teknologi hijau dan inovasi hijau,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN