BELANJAWAN 2026 memberi nafas baharu kepada sektor pelancongan negara apabila kerajaan memperuntukkan lebih RM700 juta bagi memperkukuh infrastruktur, promosi dan pembangunan destinasi baharu menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026)
Sebanyak RM500 juta diperuntukkan untuk menjayakan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dan RM60 juta dana untuk menggalakkan promosi, pemasaran dan penganjuran acara pelancongan serta aktiviti kebudayaan.
Langkah ini bukan sekadar menyokong pemulihan industri selepas pandemik, tetapi turut menjadikan pelancongan sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi domestik.
Dengan sumbangan sektor pelancongan yang semakin meningkat kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), peruntukan besar ini dijangka mencetus kesan pengganda terhadap pelbagai sektor sokongan seperti perhotelan, pengangkutan, makanan dan minuman serta perusahaan kecil tempatan.
Penggiat industri pelancongan dan Pengasas Your Inbound Matters, Uzaidi Udanis berkata, Belanjawan 2026 memberi rangsangan besar kepada penggiat industri, khususnya dalam kalangan pengendali pelancongan masuk.
Katanya, pihaknya yang mempunyai lebih 800 ahli yang kebanyakannya merupakan pengendali pelancongan masuk amat teruja dengan pertambahan peruntukan kepada sektor pelancongan.
“Peruntukan kali ini lebih spesifik, terutamanya dalam aspek pemasaran rentas sempadan. Apabila kami mempromosikan Malaysia di luar negara, sasaran kini lebih jelas kepada pasaran besar.
“Antara insentif yang paling menarik ialah pengecualian cukai kepada pengendali yang berjaya membawa pelancong luar ke Malaysia.
“Ini satu-satunya keistimewaan kepada industri. Ia memberi dorongan besar kepada kami untuk menggandakan usaha promosi dan menarik lebih ramai pelancong antarabangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2026 memberitahu, syarikat pengendali pelancongan diberi pengecualian cukai pendapatan bersamaan 100 peratus ke atas nilai peningkatan pendapatan daripada pakej pelancongan ke Malaysia.
Sementara itu, syarikat, persatuan atau organisasi yang menganjurkan persidangan, pameran perdagangan atau insentif bertaraf antarabangsa diberi pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100 peratus ke atas pendapatan berkanun.
Selain itu, Uzaidi berkata, insentif potongan cukai kepada rakyat Malaysia yang melancong dalam negara juga memberi kesan positif secara tidak langsung kepada penggiat industri seperti muzium, pengusaha produk pelancongan dan komuniti tempatan.
“Ia membantu menggerakkan aktiviti ekonomi budaya serta memupuk kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memperbanyakkan produk pelancongan baharu.
“Kerajaan sudah menyediakan pelbagai peluang, kini terpulang kepada agensi pelancongan untuk memanfaatkannya. Kami perlu memperkukuh strategi digital, termasuk membangunkan platform tempahan sendiri agar lebih berdaya saing.
“Saya juga melihat potensi besar untuk membangunkan produk baharu seperti pakej caravan, pelancongan berbasikal dan kelas memasak yang memberi pengalaman autentik kepada pelancong,” ujarnya.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, peruntukan yang besar akan digunakan bagi meningkatkan kesiapsiagaan industri pelancongan dalam menerima jumlah kemasukan pelancong asing yang dijangka mencecah 47 juta orang pada tahun hadapan.
Katanya, persiapan dari segi infrastruktur, modal insan dan keusahawanan perlu ditingkatkan supaya para pelancong yang datang akan berasa selesa dan memperoleh pengalaman yang baik bila berada di Malaysia.
“Usaha promosi juga perlu diperkasakan bagi memastikan maklumat tentang TMM2026 supaya maklumat dapat disampaikan secara berkesan.
“Kesan limpahan ekonomi akan diperoleh meliputi sektor perkhidmatan seperti industri penerbangan, khidmat pelancongan, pengurusan acara, pengangkutan darat, pusat beli-belah, barangan kraftangan, muzium, taman eko rimba, perhotelan dan restoran serta pelbagai lagi industri.
“Justeru, kalender pelancongan perlu diisi dengan sebaiknya supaya 2026 penuh dengan program-program yang menarik,” jelasnya. – UTUSAN










