Belanjawan 2026 dijangka fokus ketahanan fiskal, rangsang pelaburan

Belanjawan 2026 dijangka fokus ketahanan fiskal, rangsang pelaburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:Belanjawan 2026 dijangka memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ketahanan fiskal negara, mengukuhkan asas ekonomi, serta meningkatkan kesejahteraan rakyat, menurut RHB Research.

Firma penyelidikan itu menjangkakan defisit fiskal negara akan terus berkurang, masing-masing kepada 3.5 peratus pada 2026 dan 3.2 peritus pada 2027, dengan perbelanjaan pembangunan dianggarkan sekitar RM89 bilion bagi tahun pertama pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Tahun hadapan merupakan peluang terakhir bagi kerajaan perpaduan untuk melaksanakan reformasi bermakna dan inisiatif pertumbuhan sebelum tumpuan beralih kepada pilihan raya umum yang dijangka pada 2027,” katanya dalam nota penyelidikan.

RHB Research itu juga memberi amaran kerajaan perlu berhati-hati dalam melaksanakan inisiatif peningkatan hasil, terutama tanpa pelaksanaan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST), agar tidak membebankan sektor perniagaan.

Katanya, langkah pengoptimuman perbelanjaan dijangka memberi fokus kepada subsidi bersasar, manakala usaha konsolidasi fiskal perlu diseimbangkan dengan peluasan asas hasil negara.

“Cabaran utama kerajaan ialah menyediakan bantuan yang mencukupi kepada golongan berpendapatan rendah, sambil mewujudkan ekosistem perniagaan yang kondusif bagi menarik pelaburan baharu dan memacu industri ke arah rantaian nilai lebih tinggi,” katanya. 

Antara agenda utama yang dijangka diumumkan termasuk digitalisasi sektor awam untuk memperbaiki penyampaian perkhidmatan dan mengurangkan ketirisan termasuk reformasi dalam perkhidmatan awam.

RHB Research turut menggesa langkah untuk mempercepat peralihan Malaysia ke arah ekonomi berasaskan nilai tambah tinggi, termasuk menggalakkan pelaburan langsung asing (FDI), mengurangkan birokrasi, menawarkan insentif kepada automasi dan produktiviti serta mempercepat pembangunan bakat dan latihan kemahiran

“Kami juga menanti perincian lanjut berkenaan Kerangka Insentif Pelaburan Baharu yang dijangka diumumkan,” jelas laporan itu.

RHB Research turut memetik arah aliran pengurangan kebergantungan global yang sedang berlaku, yang berpotensi mengalihkan semula aliran portfolio kepada pasaran sedang pesat membangun termasuk Malaysia menjelang 2026.

“Kami percaya prestasi lemah pasaran domestik pada 2025 telah mengambil kira banyak risiko yang sedia ada. Namun, potensi kenaikan semasa bergantung kepada prestasi pendapatan korporat atau kemasukan dana baharu,” katanya.

Belanjawan 2026 juga dijangka menyentuh perkembangan projek MRT3 yang kini sedang dalam proses pengambilan tanah dan persediaan pembinaan.

“Kami menjangkakan kerajaan akan mengumumkan perincian seperti mekanisme pembiayaan, kos terkini, dan kemungkinan pusingan tender semula,” katanya.

MRT3 sebelum ini telah disemak semula untuk mengurangkan kos kepada bawah RM45 bilion berbanding anggaran asal RM68 bilion.-UTUSAN

 

habis/

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN