SEHINGGA akhir Jun 2025, terdapat sebanyak 108 projek Kerjasama Awam Swasta (PPP) di bawah model pembiayaan bersama dengan jumlah komitmen kewangan terkumpul kerajaan sebanyak RM112 bilion, meningkat 5.9 peratus berbanding akhir tahun 2024, menurut Laporan Tinjauan Ekonomi.
Katanya, peningkatan ini mencerminkan pelaksanaan projek PPP yang lebih aktif, meliputi pelbagai sektor termasuk pajakan aset, projek sisa kepada tenaga dan projek pengairan pertanian.
“Rangka kerja PPP membolehkan sektor swasta membina, membiayai serta mengendalikan entiti perniagaan khusus bagi menyediakan infrastruktur, memperoleh aset atau menyampaikan perkhidmatan kepada kerajaan dan rakyat.
“Kerjasama ini dilaksanakan melalui perjanjian formal yang memperincikan obligasi dan hasil utama bagi kedua-dua pihak,” katanya.
Menurut laporan itu, dua model pembiayaan utama sedang digunakan pada masa ini iaitu model bayaran oleh pengguna yang dibiayai sepenuhnya oleh sektor swasta dan model pembiayaan bersama antara kerajaan serta sektor swasta.
“Bagi memastikan kecekapan perbelanjaan dan mengurangkan kebergantungan kepada pembiayaan kerajaan, model bayaran oleh pengguna akan terus diutamakan sejajar dengan Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030.
“Projek PPP baharu yang melibatkan komitmen kewangan kerajaan pula akan tertakluk kepada skop dan had peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” jelas laporan itu.
Selain itu, kerajaan turut memperkukuh tadbir urus PPP melalui cadangan penggubalan undang-undang khusus berkaitan kerjasama awam swasta serta pelaksanaan penilaian value at entry (VAE) sebagai mekanisme tapisan wajib bagi projek pembangunan baharu.
“Penilaian ini bertujuan memastikan hanya projek yang berdaya maju, strategik dan sedia dilaksanakan dipertimbangkan untuk pelaksanaan,” tambahnya.
Secara keseluruhan, laporan itu menyatakan bahawa hutang dan liabiliti Kerajaan Persekutuan kekal terurus dengan pendedahan risiko yang terkawal hasil penebusan penuh beberapa obligasi liabiliti serta ketiadaan komitmen jaminan baharu.
“Situasi ini mencerminkan disiplin dan kemampanan fiskal kerajaan yang disokong oleh rangka kerja menyeluruh dalam mengurus risiko serta melindungi kedudukan kewangan awam.
“Langkah pembaharuan yang dilaksanakan turut membolehkan sumber negara digunakan secara optimum bagi membiayai projek berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada rakyat dan ekonomi,” katanya.
Melangkah ke hadapan, kerajaan akan terus menerapkan elemen risiko fiskal dalam pengurusan kewangan awam secara menyeluruh bagi mewujudkan persekitaran pelaburan kondusif, meningkatkan keyakinan pelabur serta menyokong pertumbuhan ekonomi negara. – UTUSAN










