PETALING JAYA: US Pizza, rangkaian piza halal tempatan terbesar di Malaysia bersama RHB Bank untuk melancarkan promosi MySiswa untuk menjadikan hidangan berkualiti lebih mampu milik kepada komuniti pelajar bermula 15 Ogos lalu.
Inisiatif ini membolehkan pelajar menikmati dua piza dengan harga berpatutan.
Menurut kenyataan, majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) diadakan sempena pembukaan rasmi cawangan terbaharu US Pizza di Eco Grandeur.
Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama dalam menyokong generasi muda Malaysia serta memperkukuh kolaborasi antara sektor makanan dan minuman dengan sektor kewangan.
Cawangan baharu di Eco Grandeur ini merupakan usaha sama strategik dengan Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Datuk Dr. Radzali Hassan.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan US Pizza, Deric Yeo berkata, kerjasama ini adalah untuk mengukuhkan hubungan dengan komuniti francais, menyokong pelajar melalui program MySiswa serta meraikan budaya tempatan Malaysia yang unik.
“Usaha sama dengan pemimpin industri yang dihormati seperti Datuk Dr. Radzali merupakan bab penting dalam pertumbuhan kami dan menegaskan komitmen kami terhadap perkongsian strategik.
“Kami berharap dapat membawa lebih banyak pengalaman inovatif serta nilai kepada pelanggan di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN










