PETALING JAYA: UBS Securities Malaysia Sdn. Bhd. (UBS Securities) menjadi Organisasi Penyertaan Islam (PO Islam) terbaharu di Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia), sekali gus menjadi broker asing pertama yang menawarkan perkhidmatan broker saham Islam melalui tetingkap Islam khusus di Bursa Malaysia-i.
Ia adalah platform pelaburan patuh syariah hujung-ke-hujung pertama di dunia.
Perkembangan ini mencerminkan permintaan global yang semakin meningkat untuk pelaburan patuh syariah dan mengukuhkan komitmen bursa untuk menjadikan pasaran modal Islam Malaysia lebih mudah diakses oleh pelabur antarabangsa dan domestik.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed berkata, penyertaan UBS Securities sebagai broker asing pertama yang menawarkan perkhidmatan broker saham Islam di Bursa Malaysia-i menandakan satu kejayaan dalam usaha untuk mengembangkan dan mempelbagaikan pasaran modal Islam Malaysia.
Katanya, ini sejajar dengan fokus strategik pasaran saham itu untuk meningkatkan kerancakan dan keterangkuman pasaran, sambil mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan patuh syariah.
“Dengan ekuiti patuh syariah yang membentuk sebahagian besar tawaran kami, kami kekal komited untuk meluaskan akses, menambah kecairan dan memajukan peranan Malaysia sebagai pintu masuk global untuk penyelesaian pasaran modal Islam.
“Permodalan pasaran sekuriti patuh syariah telah berkembang 14.3 peratus tahun ke tahun, meningkat daripada RM1.17 trilion pada 2023 kepada RM1.34 trilion pada akhir 2024, menekankan peranan Malaysia sebagai hab kewangan Islam terkemuka,” katanya dalam kenyataan.
Pembrokeran saham Islam memberikan pelabur akses kepada perdagangan sekuriti patuh syariah yang dijalankan sama ada melalui saluran Islam khusus atau pembrokeran Islam sepenuhnya.
Ini memastikan pengasingan yang jelas antara urus niaga Islam dan konvensional merentasi kedua-dua aktiviti perdagangan dan pasca dagangan.
Diperkenalkan pada September 2016, Bursa Malaysia-i menawarkan perkhidmatan berkaitan pertukaran hujung ke hujung berstruktur dalam rangka kerja syariah, membolehkan pelabur berdagang instrumen patuh syariah melalui infrastruktur yang teguh dan telus.
Ketua Negara UBS Securities, May Lee berkata, UBS Securities berbesar hati menjadi institusi kewangan asing pertama yang menawarkan saluran broker saham Islam.
“UBS Securities kekal sebagai broker asing teratasnya dan keseluruhan kedudukan tiga broker teratas di Malaysia dengan bahagian pasaran sebanyak 10 peratus. Kami terus melihat peluang pelaburan di Malaysia dan pada masa ini berpandangan ‘overweight’ terhadap ekuiti Malaysia.
“Inisiatif terbaharu ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk menyediakan akses global kepada pasaran modal Malaysia sambil mengembangkan rangkaian produk pelaburan kami yang komprehensif untuk pelanggan kami,” jelasnya. – UTUSAN