KONDOMINIUM pegangan bebas, The Reya yang mengangkat keindahan bandar dengan latar belakang alam semula jadi mendapat sambutan memberangsangkan apabila fasa satu pembangunan tersebut mencapai 80 peratus jualan baru-baru ini.
Projek yang dibangunan oleh Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) di KL East tersebut terletak hanya 15 kilometer (km) dari pusat bandar dan menawarkan pemandangan bandar, hutan atau kedua-duanya sekali, menjadikannya kondominium pegangan bebas premium yang tersendiri di Kuala Lumpur.
Berdasarkan momentum kukuh ini, fasa dua The Reya telah dilancarkan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk kediaman premium yang direka dengan baik yang mengutamakan kemampanan, kehidupan pelbagai generasi dan akses yang lancar.
Terletak di atas 2.58 hektar dan elegan di sepanjang kaki bukit Klang Gates Quartz Ridge, The Reya ialah sebuah pembangunan kediaman berinspirasikan resort yang menawarkan 480 unit merentasi enam susun atur, termasuk pilihan dwi utama.
Dengan binaan antara 1,350 hingga 2,210 kaki persegi dan pilihan tiga hingga lima bilik tidur, unit tersebut dijual pada harga dari RM899,000.
Pembangunan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM475 juta itu disasarkan untuk siap pada Julai 2029.
Kumpulan berkata, The Reya menampilkan kemudahan gaya resort yang direka dengan teliti untuk semua peringkat umur, termasuk kolam infiniti, ruang rehat bersama, bilik permainan, dewan serbaguna merangkap gelanggang badminton dan pickleball dan lebih 47 peratus hutan yang dipelihara.
Ketua Pegawai Operasi Sime Darby Property – Pembangunan Bersepadu, Datuk Ir. Mohd Idris Abdullah berkata, persekitaran kediaman yang subur ini menggabungkan reka bentuk hijau yang mementingkan alam sekitar memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk kehidupan yang mampan dalam bandar.
“Jualan 80 peratus The Reya semasa pratonton fasa satu mencerminkan permintaan yang semakin meningkat untuk rumah yang menawarkan keseimbangan dan hubungan yang lebih mendalam dengan alam semula jadi.
“Dengan reka bentuk yang tersendiri, lokasi utama dan daya tarikan kepada keluarga besar dan penaik taraf, The Reya menonjol sebagai pilihan yang menarik dalam perbandaran yang meriah seperti KL East yang mempunyai ciri pemaju induk yang bereputasi,” jelasnya.
The Reya adalah tambahan terbaharu kepada pelan induk KL East seluas 64.35 hektar di Desa Melawati yang terletak di lokasi strategik berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Gombak dan Terminal Pengangkutan Bersepadu Gombak (GITT).
Pembangunan itu juga mempunyai akses terus ke enam lebuh raya, termasuk Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Lebuhraya Duta–Ulu Kelang (DUKE) dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL2) yang dijangka dibuka pada 2027.
Pembangunan ini juga terletak pada jarak berjalan kaki singkat dari KL East Mall, KYS KL East International School dan KL East Park. – UTUSAN
 
								
 
								 
								 
											









