Syarikat bumiputera masih bergelut untuk bersaing

Syarikat bumiputera masih bergelut untuk bersaing di Bursa Malaysia 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat bumiputera masih bergelut untuk bersaing di Bursa Malaysia walaupun mencatatkan peningkatan memberangsangkan apabila indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik hampir 15 peratus pada separuh pertama. 

Penganalisis ekonomi, Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, selepas disenaraikan di bursa, syarikat bumiputera berdepan cabaran besar termasuk keperluan mengumpul modal tambahan, pematuhan syarat pegangan saham bumiputera serta kos pinjaman yang meningkat ekoran kadar faedah semasa. 

“Faktor pengurusan dan tadbir urus korporat turut memainkan peranan dalam menentukan kelangsungan perniagaan.

“Dari segi keuntungan dan nilai pasaran, syarikat bumiputera masih belum setara dengan syarikat bukan bumiputera, namun syarikat berasaskan asas kukuh seperti DRB-HICOM dan KPJ Healthcare tetap mampu bersaing serta mengekalkan kedudukan masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Jelasnya, kelemahan ringgit juga memberi kelebihan kepada syarikat pengeksport tetapi pada masa sama meningkatkan kos import. 

“Syarikat yang bergantung kepada bahan dan peralatan luar negara terpaksa menanggung beban tambahan, manakala kadar faedah tinggi terus menekan kedudukan kewangan syarikat baharu yang memerlukan modal besar.

“Oleh itu, bagi memperkukuh daya saing, beberapa langkah dicadangkan termasuk penyediaan dana khas untuk syarikat bumiputera berpotensi tinggi, memperhebatkan program seperti BRAVE bagi bimbingan penyenaraian serta mempercepatkan laluan syarikat dari Pasaran LEAP ke ACE atau Pasaran Utama.

“Selain itu, aspek latihan kepimpinan dan pengurusan perlu diperkasa, manakala insentif khusus dalam sektor digital, halal dan pertanian lestari berupaya melonjakkan lagi kedudukan syarikat bumiputera di pasaran,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, syarikat bumiputera kekal menonjol dalam beberapa sektor utama seperti automotif, pembinaan, kesihatan, agrobisnes serta makanan dan restoran.

Menurutnya, antara nama besar termasuk DRB-HICOM, Cahya Mata Sarawak (CMSB), KPJ Healthcare dan QSR Brands yang menjadi penyumbang penting kepada ekonomi negara.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, kategori syarikat bumiputera yang tersenarai di Bursa Malaysia masih dianggap kabur berikutan kebanyakannya terdiri daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menerajui modal pasaran.

Beliau berkata, pengelasan syarikat GLC sebagai syarikat bumiputera adalah kurang tepat kerana manfaat yang dijana bersifat universal.

“Pendapatan daripada dividen GLC bukan sahaja memanfaatkan Kerajaan Persekutuan, malah Kerajaan Negeri yang turut memiliki GLC tersenarai. 

“Hasil ini pula digunakan untuk membiayai perbelanjaan mengurus serta pembangunan, sekali gus memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya. 

Beliau berkata, manfaat secara langsung kepada bumiputera lebih jelas melalui program khusus yang dijalankan GLC seperti Bumiputera Vendor Development Program, selain skim pelaburan seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang diterajui Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan pulangan kompetitif kepada pelabur Bumiputera.

Sehubungan itu, Mohd.Afzanizam berkata, aspirasi utama pembangunan perniagaan bumiputera seharusnya menumpukan kepada usaha menggalakkan lebih banyak syarikat yang diterajui usahawan bumiputera disenaraikan di Bursa Malaysia.

“Perniagaan bumiputera perlu berkembang daripada peringkat mikro kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), seterusnya meningkat menjadi syarikat berskala besar yang mampu disenaraikan.

“GLC pula perlu berperanan sebagai pemangkin dan pemudah cara, bukannya pesaing kepada syarikat bumiputera,” jelasnya.

Mohd. Afzanizam berkata, perkara itu bukanlah sesuatu yang mudah memandangkan ekosistem GLC juga agak kompleks.

“Ini kerana mereka berada di tengah-tengah antara menjadi agen pembangunan kepada kerajaan dan pada masa sama memastikan justifikasi komersial serta keuntungan kepada pemegang saham dapat diimbangi dengan sebaiknya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN