SME Bank lancar aplikasi ELSA, bantu PKS dalam transformasi digital - Utusan Malaysia

SME Bank lancar aplikasi ELSA, bantu PKS dalam transformasi digital

DATUK Ewon Benedick merasmikan pelancaran Aplikasi ELSA di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) menyasarkan untuk membantu 10,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam tempoh dua tahun bagi mengukuhkan ekosistem keusahawanan menerusi aplikasi mudah alih baharu, Enterprise Lifecycle Scoring Assessment (ELSA).

Aplikasi berkuasa kecerdasan buatan (AI) ini dibangunkan dengan pendekatan utamakan mudah alih yang menyediakan usahawan dengan kemas kini semasa akses kepada pembiayaan fleksibel serta laluan komprehensif daripada proses penilaian hingga peluang pasaran.

Selain memperkasakan PKS, ELSA turut mencerminkan agenda Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 untuk memacu transformasi digital melalui AI, keselamatan siber, pembayaran digital dan inovasi inklusif sekali gus mengukuhkan peranan SME Bank dalam membina ekonomi masa depan yang berdaya saing.

Ketua Pegawai Digital dan Teknologi SME Bank, Hairil Izwar Abd. Rahman berkata, peluncuran itu menandakan langkah berani dalam perjalanan inovasi digital SME Bank menjadikan ELSA yang kini dapat diakses melalui aplikasi mudah alih.

“Kami menggabungkan kecerdasan dan ketercapaian dalam satu platform membolehkan PKS bergerak daripada mengenal pasti cabaran kepada tindakan yang mendorong pertumbuhan.

“ELSA bukan lagi sekadar alat penilaian namun ia kini berkembang sebagai platform inklusif untuk memperkasakan PKS, merentasi aspek pembiayaan, pendigitalan, latihan dan akses pasaran,” katanya dalam kenyataan.

ELSA diperkenalkan pada 2021 sebagai rangka kerja untuk membimbing PKS melalui perjalanan perniagaan mereka dan kini berkembang menjadi platform berasaskan web yang telah memberi manfaat kepada lebih 5,000 usahawan melalui program nasional dan industri anjuran SME Bank bersama rakan strategik dan pihak kementerian.

Rakan strategik tersebut termasuk Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Petronas, Prasarana dan Johor Petroleum Development Corporation.

Inovasi serta impak ELSA turut diiktiraf melalui IDC Future Enterprise Award 2023 dan ADFIAP Technology Award 2025 mengukuhkan lagi peranan SME Bank dalam memacu pembangunan PKS.

Aplikasi ELSA membolehkan PKS memohon dan menjejak status permohonan pembiayaan terus daripada telefon pintar dengan data penilaian yang secara automatik mengisi maklumat utama untuk mengurangkan halangan dan mempercepatkan kelulusan.

Ciri-ciri ini memastikan PKS dipandu dari peringkat analisis ke pembiayaan dan seterusnya akses pasaran bagi mewujudkan perjalanan pertumbuhan yang menyeluruh dan mampan.

Acara tersebut menghimpunkan pemain industri, agensi kerajaan dan pembeli antarabangsa bagi memacu kolaborasi serta membuka peluang akses pasaran baharu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN