SHAH ALAM: Sime Darby Property Bhd. menjadi pemaju hartanah pertama negara melancarkan projek solar kediaman berskala komuniti di Bandar Elmina, di sini semalam.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Azmir Merican berkata, projek perintis itu membuktikan model tenaga mampan boleh dilaksanakan secara menyeluruh sekali gus menyokong agenda peralihan tenaga negara.
Jelas beliau, inisiatif itu menandakan langkah penting dalam menyokong sasaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) iaitu 70 peratus tenaga negara dijana daripada sumber boleh baharu menjelang 2050.
“Model pembangunan Sime Darby Property itu mengubah bumbung rumah kediaman menjadi aset penjana tenaga menerusi kaedah pajakan atas bumbung bagi membolehkan pemilik rumah menjadi sebahagian daripada ‘prosumer’ iaitu pengguna dan pengeluar tenaga.
“Projek ini bukan saja memberi manfaat kepada pemilik kediaman malah menyokong keperluan tenaga hijau pembangunan komersial dan industri berdekatan,” katanya pada majlis perasmian projek di bawah Mekanisme Pengagregatan Tenaga Boleh Diperbaharui Komuniti (CREAM) itu di sini semalam.
Terdahulu, projek itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Projek perintis di perbandaran utama City of Elmina itu membolehkan pemilik rumah menyewakan bumbung mereka bagi pemasangan panel solar tanpa memerlukan pelaburan awal.
Penduduk terlibat akan menerima pendapatan daripada sewaan ruang bumbung sekali gus menyumbang secara langsung kepada agenda tenaga hijau negara.
Selain itu, Sime Darby Property sebagai Agregator Penjana Tenaga Tempatan (LEGA) yang dilantik akan bertanggungjawab memasang, mengendalikan dan menguruskan infrastruktur solar dengan kerjasama GSPARX Sdn. Bhd, anak syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) selaku rakan teknikal.
Tenaga yang dijana melalui projek itu akan disalurkan ke Taman Inovasi Sime Darby Property yang terletak dalam radius lima kilometer dari kediaman peserta, dan bertindak sebagai Pengguna Hijau Tempatan (LGC).
Selain Taman Inovasi, beberapa pihak lain seperti stesen minyak, hab komersial dan sekolah berhampiran menyatakan minat menjadi pengguna tenaga hijau sekali gus menandakan potensi besar projek itu untuk diperluaskan.
Projek itu akan melibatkan lebih 6,000 unit rumah di empat kawasan kediaman di City of Elmina iaitu Elmina Green, Elmina Garden, Ilham Residence dan Elmina Valley.
Mengulas lanjut, kata Azmir, tenaga yang dijana akan menyokong pembangunan berhampiran seperti Innovation Park, manakala Sekolah Menengah Akademik Chong Hwa yang dijangka siap pada 2027 turut menyatakan minat untuk menjadi pembeli tenaga solar itu.
“Kaedah pajakan atas bumbung memberi peluang kepada penduduk menjana pendapatan tambahan tanpa perlu menanggung kos pemasangan panel solar.
“Tenaga yang dijana juga menyokong pembangunan komersial dan industri voltan rendah dan sederhana berhampiran sekali gus mengurangkan pergantungan kepada sumber tenaga berasaskan fosil,” ujarnya.
Tambah beliau, projek itu turut memberi menyokong pertumbuhan industri solar tempatan dan membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
“Sime Darby Property berharap dapat bekerjasama rapat dengan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Suruhanjaya Tenaga dan TNB bagi memastikan model itu kekal berdaya maju dari sudut komersial serta memperluaskan radius penjanaan dan pembelian tenaga.
“Projek perintis ini hanya permulaan dan kami berhasrat menjadikan ia model rujukan nasional sekali gus menjadi sumbangan nyata sektor swasta kepada aspirasi NETR,” katanya. – UTUSAN