PETALING JAYA: Bermula sebagai sebuah perusahaan kecil sejak Januari 2016, AHA Kitchen yang mengeluarkan jenama makanan Shimaz Tumisan Bonda kini semakin berkembang maju selepas memperoleh sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Pengarah Urusannya, Hasimah Hassan berkata, perjalanan syarikat itu bukanlah mudah kerana ia bermula secara sederhana di rumah sebelum berkembang kepada pengeluaran yang lebih tersusun.
Katanya, pengalaman hampir sembilan tahun dalam perniagaan makanan banyak mengajarnya mengenai kepentingan kualiti dan piawaian kebersihan.
“Justeru, langkah memohon sijil halal adalah antara strategi utama bagi memastikan produk benar-benar diyakini pengguna.
“Proses mendapatkan sijil halal ini tidak semudah yang disangka. Ia memerlukan dokumentasi yang sangat terperinci, selain tenaga kerja yang mahir dalam bidang halal.
“Saya sendiri mengambil masa yang agak panjang untuk memahami setiap keperluan dan memastikan syarikat bersedia sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurut Hasimah, permohonan sijil halal dibuat pada penghujung tahun 2023 dan berjaya diluluskan pada awal 2024 dan kejayaan itu memberi impak positif yang sangat besar kepada AHA Kitchen.
“Sejak sijil halal diperoleh, kami melihat peningkatan jualan sebanyak 30 peratus. Pelanggan semakin yakin untuk membeli produk kami kerana ada jaminan halal, bersih dan berkualiti,” ujarnya.
Tambah beliau, sijil halal bukan sahaja memberi keyakinan kepada pengguna beragama Islam, malah turut membuka akses pasaran lebih luas kerana produk halal semakin mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat bukan Islam yang menitikberatkan aspek kebersihan serta keselamatan makanan.
“Sijil halal juga menaikkan reputasi perniagaan. Ia membuktikan kami komited menjaga proses pengeluaran dengan teliti, mematuhi undang-undang dan mengekalkan kualiti produk.
“Dari sudut pemasaran pula, ia menjadi kelebihan daya saing untuk menembusi pasar raya besar, hotel serta restoran,” tambahnya.
Bagaimanapun, Hasimah mengakui bahawa cabaran tetap ada, terutama dari segi memastikan standard halal sentiasa dipatuhi dan didokumenkan dengan baik.
Menurutnya, mengekalkan sijil halal memerlukan disiplin yang tinggi serta kawalan berterusan di setiap peringkat pengeluaran.
“Kami memang ada perancangan untuk mengembangkan pasaran ke luar negara kerana produk bersijil halal lebih mudah diterima di pasaran antarabangsa, terutamanya di negara-negara Islam. Namun, cabaran terbesar adalah faktor kewangan yang agak terhad,” katanya.
Justeru, beliau berharap lebih banyak sokongan dapat diberikan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam bentuk pembiayaan atau bimbingan untuk membantu mereka menembusi pasaran eksport.
“Bagi kami, sijil halal adalah pelaburan jangka panjang. Ia bukan sekadar sijil semata-mata, tetapi satu komitmen kepada pengguna. Dengan adanya pengiktirafan halal, kami percaya produk Shimaz Tumisan Bonda mampu terus berkembang dan menjadi pilihan utama pengguna pada masa depan,” katanya. – UTUSAN










