PETALING JAYA: Scientex Berhad (Scientex) mencatat peningkatan keuntungan bersih sebanyak 13.6 peratus kepada RM154.3 juta bagi suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Julai 2025, berbanding RM135.9 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Pendapatan pengeluar bungkusan global dan pemaju hartanah terkemuka itu turut naik 2.1 peratus kepada RM1.19 bilion, berbanding RM1.17 sebelum ini.
Segmen hartanah terus menjadi penyumbang utama kepada prestasi syarikat dengan pendapatan meningkat 12.2 peratus kepada RM580.0 juta berbanding RM517.0 juta pada suku yang sama tahun lalu.
Pertumbuhan ini disokong oleh kemajuan pembinaan projek sedia ada serta pelancaran baharu di Pulau Pinang, Perak, Selangor, Melaka dan Johor.
Segmen bungkusan pula mencatatkan penurunan pendapatan 6.0 peratus kepada RM612.5 juta, daripada RM651.3 juta sebelum ini, dipengaruhi oleh permintaan eksport yang lebih lemah dan turun naik kadar tukaran mata wang asing.
Namun, Scientex berjaya mengekalkan daya tahan segmen ini melalui inisiatif pengurusan kos dan peningkatan kecekapan operasi.
Ketua Pegawai Eksekutif Scientex, Lim Peng Jin berkata, tahun kewangan 2025 merupakan tahun pelaksanaan strategik dan ketahanan bagi Scientex.
Katanya, permintaan berterusan terhadap rumah mampu milik mengukuhkan strategi jangka panjang syarikat dalam memperluas simpanan tanah dan pembangunan.
“Kami telah menyiapkan lebih daripada 42,000 unit rumah mampu milik dan berada di landasan kukuh untuk mencapai sasaran 50,000 unit menjelang 2028,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menambah, syarikat kekal komited terhadap inovasi dalam segmen pembungkusan fleksibel serta memperkukuh kedudukan dalam pasaran Asia Pasifik dan Amerika Syarikat (AS) melalui operasi pembuatan yang cekap di Malaysia dan AS.
Bagi keseluruhan tahun kewangan berakhir 31 Julai 2025, Scientex mencatat rekod pendapatan sebanyak RM4.52 bilion, sedikit meningkat daripada RM4.48 bilion pada tahun kewangan 2024.
Bagaimanapun, keuntungan bersih merosot sedikit kepada RM530.8 juta berbanding RM545.2 juta tahun sebelumnya.
Lembaga Pengarah mencadangkan dividen akhir satu peringkat sebanyak enam sen sesaham bagi tahun kewangan 2025.
Bersama dividen interim enam sen yang telah dibayar pada 18 Julai 2025, jumlah dividen bagi tahun ini adalah 12 sen sesaham, melibatkan pembayaran sebanyak RM186.8 juta atau 35.2 peratus daripada keuntungan bersih kumpulan.
Tarikh ex-dividen ditetapkan pada 7 Januari 2026 dan tarikh pembayaran adalah 23 Januari 2026, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan akan datang. – UTUSAN